Kerajaan BN Tidak Pernah Tabur Janji Kosong - Muhyiddin
GALAS, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menabur janji kosong dalam setiap pilihan raya kecil, malah setiap apa yang dijanjikan sentiasa dikotakan walaupun kadangkala ia mengambil sedikit masa.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menyatakan kerajaan BN hanya pandai berjanji tetapi gagal menunaikan janji adalah tidak benar sama sekali.
"Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa kata saya munafik dalam Harakah sebab katanya janji nak buat jambatan di Manik Urai tetapi tak buat lagi.
"Saya nak tegaskan kalau kerajaan BN berjanji, ia bukan janji kosong. Projek ini kita akan tunaikan...waktu kita janji dulu kos pembinaannya hanya RM7 juta, tetapi sekarang apabila kita panggil tender dah mencecah RM17 juta, naik hampir sekali ganda.
"Walaupun ia satu jumlah yang agak besar, tetapi kita tidak mungkir janji kerana kita mampu untuk menunaikannya. Kita telah minta Perbendaharaan untuk meluluskannya," katanya ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di sini hari Rabu.
Katanya, isu yang sama juga dibangkitkan apabila beliau melancarkan projek perumahan rakyat (PPR) di sini yang bernilai lebih RM180 juta dan mereka dilihat seolah-olah cuba menimbulkan rasa sangsi terhadap kemampuan kerajaan untuk melaksanakan bantuan itu.
"Kita nak bagi pembangunan tetapi dia (pembangkang) timbulkan syak wasangka... Ini niat tidak baik. Kalau nak ikutkan kerajaan negeri turut bertanggungjawab dalam soal pembinaan jambatan dan perumahan rakyat tetapi mereka tidak lakukan kerana tidak mempunyai kemampuan," katanya.
Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan Kelantan mengalami sedikit pembangunan, namun kebanyakannya adalah hasil bantuan yang diberikan oleh kerajaan pusat.
"Saya sedar di Galas, banyak pembangunan harus dilakukan, tetapi siapa lebih mampu dan upaya untuk buat apa yang rakyat mahu. Dia (kerajaan Pas Kelantan) pitih tak dok...apabila air kotor, Pas tidak ada duit, dia jumpa Perdana Menteri untuk pinjam duit.
"Kerajaan pusat bagi pinjam RM700 bilion untuk kepentingan rakyat Kelantan supaya masalah itu dapat diatasi tetapi kita tahu dia tak atasi juga kerana dia tidak ada wang dan kemampuan untuk laksanakan pembangunan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu pengundi Galas yang dahagakan pembangunan supaya membuat pertimbangan wajar dalam memilih wakil rakyat mereka dalam pilihan raya kecil pada hari Khamis.
"Kita bersedia untuk bawa perubahan besar di Kelantan dan kemenangan calon BN dalam pilihan raya esok akan memberi isyarat kepada seluruh negara bahawa BN masih terus berupaya mentadbir seluruh negara sebagai kerajaan pusat dan InsyaAllah Kelantan suatu hari nanti.
"Jadi kita minta rakyat Galas supaya dapat fikir semula selepas 20 tahun, sudah sampai masa dan ketika kita beri isyarat bahawa rakyat Kelantan sudah sedia menerima perubahan besar di bawah pimpinan kerajaan BN," katanya.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima daripada Pas meninggal dunia pada 27 Sept lepas.
Pilihan raya kecil esok akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Abdul Aziz Yusoff dan calon Pas Dr Zulkefli Mohamad.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan