Seorang yang kejam dan zalim akan bertindak seperti mana sifat orang yang zalim dan kejam.
Kisah ini bukan nak bagitau tentang kezaliman dan kekejaman.
Bukit Kepong: Anak Yusoff Rono akui Mat Indera selamatkan bapanya
KUALA LUMPUR, 9 Sept — Anak kedua kepada anggota polis yang terselamat dalam peristiwa Bukit Kepong Allahyarham Yusoff Rono mengakui bapanya pernah diselamatkan oleh Ahmad Indera atau dikenali sebagai “Mat Indera” ketika serangan enam dekad lalu itu.
Nazir Yusoff, 54, berkata arwah bapanya itu pernah menceritakan tindakan Mat Indera menyelamatkan dia ketika diacukan banet oleh seorang anggota komunis.
Nazir dipetik Sinar Harian hari ini berkata, tindakan tersebut disebabkan Mat Indera sudah mengenali bapanya yang pernah bersama-sama bekerja sebagai buruh di Pelabuhan Muar sebelum berkhidmat sebagai anggota polis.
Dia yang kini menetap di Sungai Duyong, Kandang Melaka di Melaka berkata, menurut bapanya, selepas serangan pada 23 Februari 1950, Yusoff merupakan antara empat yang terselamat.
“Apabila pertempuran berhenti, bapa saya berada dalam himpunan mayat. Ketika anggota komunis membuat pemeriksaan, mereka dapati bapa saya masih hidup.
“Salah seorang anggota komunis mengacukan banetnya kepada bapa saya, sementara tiga lagi anggota polis yang terselamat berjaya terjun ke dalam sungai,” katanya.
Nazir menambah, ketika itu bapanya cedera teruk setelah ditarik dari kubu di bahagian bawah, selain tangan kirinya patah terkulai terkena tembakan.
Sementara kaki kiri dan matanya turut cedera terkena serpihan bom.
“Ketika itulah, bapa saya didatangi Mat Indera. Disebabkan dia kenal bapa saya, dia menghalang komunis daripada membunuhnya dengan berkata ‘yang sudah itu sudahlah’ kepada anggota komunis berkenaan,” katanya lagi.
Kelmarin, keluarga Mat Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, hari ini menuntut agar kerajaan membersihkan namanya - tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.
Adiknya, Baharom Shah berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.
“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.
“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat.
Katanya, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”
Dalam bab mengenai Mat Indera, penulisnya berkata, “pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negaera, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”
Mat Indera merupakan salah satu daripada 12 adik-beradik, dengan dua ibu. Mat Indera merupakan anak kedua ibu pertama manakala Baharom merupakan anak ketiga sebelah ibu kedua.
Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.
Katanya, Mat Indera datang ke lokasi kejadian bukan untuk bertempur, sebaliknya “datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.”
“Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.
Ketika ditanya berapa ramai diselamatkan, “yang diselamatkan itulah yang diselamatkan... ramai.”
Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.
“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia... dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.
Sumber : SINI