Berpesan-pesan kearah kebenaran dan kena cekal dan sabar dalam memberi igatan dan penerangan.
Sukar dan susah nak sabar dalam berjuang. Ada yang gagal mengawal perasaan dan tingkah laku. tidak sedikit yang yang gugur ditengah jalan.
Apapun, kita sedaya mungkin berusaha mencari jalan mencapai rehda Allah...
Sumber : SINI
Allah Taala berfirman di dalam al-Quran, bermaksud:
"Dan
belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah,
dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya
kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya
segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah :
ayat 195).
Makna bagi ayat "...mencampakkan diri ke dalam kebinasaan" di
sini ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia
menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita
berjuang untuk Islam, nanti kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja
atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan, "...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".
Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara
yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama
Allah Taala, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah
itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.
Diriwayatkan
oleh Imam at-Tabari ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka
menawan kota Constantinople (Istanbul, Turki), tiba-tiba orang Islam
berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai. Ada antara orang Islam
itu seorang pahlawan yang terlalu berani, menawarkan untuk masuk ke
dalam pasukan tentera Rom yang ramai bersendirian walaupun akibatnya
yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, "Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran; “...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan?"
Kebetulan
di dalam peperangan tersebut ada seorang Sahabat Nabi yang umurnya
telah menjangkau 80 tahun, namanya Abu Ayub al-Ansari RA iaitu sahabat
yang diberi kelebihan ketika Rasulullah SAW berhijrah, unta Baginda SAW
telah berhenti di laman rumah Abu Ayub sebagai isyarat Baginda memilih
rumahnya untuk bermalam di situ sebelum Baginda memiliki rumah sendiri
di kota Madinah. Abu Ayub telah tua ketika bersama tentera Islam dalam
peperangan menentang Rom.
Apabila Abu Ayub al-Ansari mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata, "Wahai
manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil
yang begitu rupa (pentakwilan yang menyeleweng). Sesungguhnya ayat ini
diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat
ganjaran daripada Allah Taala, iaitu ketika Allah memenangkan agama-Nya
dan ramai orang yang menolong agama-Nya.”
"Maka berkatalah
segelintir kami kepada segelintir yang lain. Kami berbisik sesama kami,
dengan harapan hal itu tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah SAW
bahawasanya harta manusia sudah banyak; Kita ketinggalan dalam memajukan
dan mengumpul harta benda kerana terlalu mementingkan jihad (di medan
perang), kita tidak dapat menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik
(kerana asyik berjihad).”
"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan
kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam sudah ramai, maka
langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi
berperang. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita
mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini
dalam harta benda, agar kita dapat mengatasinya semula.”
"Justeru,
Allah Taala menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa
yang kami katakan, "...Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah, dan
janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".
Abu
Ayub RA adalah seorang Sahabat yang berani, sekalipun dalam keadaan
sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu
(Kota Constantinople) dan melarang tentera Islam membawa pulang mayatnya
ke Madinah. Hal ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda
tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut
dari tangan musuh.
Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun
lamanya untuk menawan kota Constantinople kerana kerajaan Rom Timur
mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka
mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka
boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga
kapal-kapal tentera Islam terbakar.
Akhirnya Allah Taala memberi
kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam
Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi
kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bahawa Baginda boleh
menawan kota itu semula dan memimpinnya.
Setelah kota itu ditawan
orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es
Sophia (Aya Sophia)yang besar itu berhasil ditawan oleh orang Islam.
Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta
ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini. Sehingga sekarang
masjid itu dikenali dengan Masjid al-Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi
sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah
menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang
Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.
Berdasarkan
kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu
Ayub al-Ansari, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga ke
peringkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan
itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain.
Memang
berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat
hubungannya dengan Allah Taala, di hadapan matanya hanyalah balasan baik
daripada Allah dan janji-Nya. Apabila berlakunya hubungan langit dan
bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu
tidak akan takut lagi kepada mati.
Kesimpulannya, mencampakkan
diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak
berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya
untuk meninggikan agama Allah.