Harga Minuman Kopi Dan Teh Naik Di Sibu Mulai 15 Jan Ini
SIBU, 8 Jan (Bernama) -- Harga secawan teh atau kopi di bandaraya Sibu, Kanowit, Selangau dan Machan akan dinaikkan antara 10 hingga 30 sen mulai 15 Jan ini, menurut Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Sibu hari ini.
Persatuan tersebut, yang mempunyai 360 ahli dari empat kawasan itu, telah memutuskan untuk mengurangkan kenaikan harga dari 10 hingga 50 sen pada awal tahun ini kepada 10 hingga 30 sen.
Pengerusinya Tong Ink Kon berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sibu.
"Gula bukan semestinya ramuan utama tetapi kenaikan harga susu dan produk susu juga dipertimbangkan. Harga barangan itu telah naik dengan ketara sejak beberapa tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini.
Tong berkata persatuan itu tidak mengemaskini harga minuman itu sejak lima tahun lepas walaupun semua bahan ramuan untuk membuat kopi dan teh sentiasa naik.
"Juga faktor lain seperti sewa kedai, gaji, gas dan tarif elektrik telah naik dan ini meningkatkan kos operasi kami," jelasnya.
Katanya mulai 15 Jan ini, harga secawan kopi dan teh naik 10 sen, 20 sen untuk gelas sederhana dan 30 sen untuk gelas besar.
-- BERNAMA