Pengikut

Khamis, 20 Oktober 2011

TAK PUEH HATI? JANGAN MELAWAN KETETAPAN!!

Bila pemimpin dan buat keputusan, semua ahli kena terima dan tetap setia memberikan sokongan padu. Kalau tidak, calon boleh menang pun bakal bungkus..









Pelarasan Formula Agihan Kerusi Kritikal Buat BN : Kata Penganalisis

Oleh Mohd Noor Firdaus Mohd Azil

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional untuk menyelaras semula formula pengagihan kerusi antara parti komponen dilihat kritikal bagi menjamin kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian, bukan lagi rahsia bahawa PRU kali ini antara yang paling mencabar dalam sejarah politik Malaysia, justeru, penting bagi setiap jentera parti komponen memberi sokongan penuh terhadap apa jua hasil yang dicapai daripada formula itu kelak.

Beliau berkata kemungkinan besar akan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan hasil capaian formula ini kerana bilangan kerusi yang ditandingi baik untuk Parlimen atau Dewan Undangan Negeri akan berkurangan, namun semangat pemuafakatan harus diutamakan.

"Di situlah kita lihat adanya kompromi dan pengorbanan yang melahirkan 'win-win situation' sekaligus akan meminimumkan masalah yang akan timbul," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, formula pengagihan kerusi lebih berkisar kepada kerusi yang ditandingi sesebuah parti komponen secara tradisi, namun Sivamurugan berpendapat keadaan itu akan diubah lantaran landskap politik semasa yang kian mencabar, khususnya untuk BN.

Mengulas lanjut, Sivamurugan menjangkakan formula agihan kerusi itu akan melangkaui elemen kawasan, jantina, faktor umur serta profesion seseorang calon.

"Kemudian, mereka akan melihat kepada 222 kawasan Parlimen sebagai contoh, memastikan mana kawasan putih, hitam dan kelabu. Selepas kawasan itu dinilai, barulah calon-calon yang bersesuaian akan disenaraipendekkan.

"Sejauh mana calon dipilih berkelayakan, mungkin ada calon tempatan, mungkin ada kawasan tertentu lebih mengutamakan calon payung terjun, kawasan yang beri keutamaan parti daripada calon, kesemua kombinasi ini akan dapat kita lihat," katanya.

Veteran Umno Tan Sri Sabaruddin Chik pula berpendapat, akan timbul rasa tidak puas hati sesetengah pihak akibat percaturan baru ini, namun ia harus diterima dengan semangat setiakawan, kerana semangat itu adalah kunci perpaduan yang selama ini disisip rapi antara parti komponen BN.

"BN mesti berkorban daripada segi kemungkinan parti ini akan kurang sikit (jumlah kerusi ditandingi), parti itu kurang sikit, barulah dapat calon boleh menang. Kalau macam dulu juga bilangannya, mungkin kita tidak dapat hasil terbaik," kata bekas Setiausaha Agung Umno itu.

Sabaruddin berkata tidak ada apa jua formula yang boleh terlampau menyenangkan semua pihak, namun adalah lebih baik jika sesuatu keputusan dalam pembahagian tidak terlalu memuaskan hati masing-masing bagi memastikan keseimbangan politik itu wujud dan saling melengkapi.

Bagi Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib, BN harus bersifat dinamik kerana kalau dilihat daripada segi penstrukturan calon, terutamanya parti yang diwakili, calon tersebut perlu berwibawa dan selari dengan kehendak masyarakat.

Beliau berkata, BN seharusnya kekal memegang prinsip 'parti berjiwa rakyat', bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat perkhidmatan wakil rakyat yang terbaik.

"Jangan PRU dijadikan sebagai medan untuk menempatkan kroni bagi menjaga kepentingan seorang dua ahli politik tetapi pilihlah calon yang betul-betul berperwatakan ikhlas, memahami kehendak akar umbi dan mampu bekerja, itulah sebenarnya apa yang dimahukan rakyat.

"Jadi tugas untuk sediakan wakil rakyat dan calon yang berpotensi bukan terletak pada pihak pengurusan tertinggi BN sahaja, malah ia harus didokong oleh majoriti ahli," katanya.

Md Shukri menggesa semua pemimpin di peringkat akar umbi supaya tidak menipu dan menganiaya keseluruhan BN dengan mengemukakan calon yang tak kompetitif dan 'syok sendiri'.

"Saya rasa kesemua ahli dari segenap lapisan dalam BN harus bersedia untuk berkorban, barulah kekal kelangsungan BN untuk menjadi kerajaan. Kalau dia tak boleh berkorban, pentingkan diri sendiri, maka akan timbullah bencana politik yang mana kesannya akan ditanggung untuk masa yang cukup panjang," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Ir Dr Chin Yew Sin berkata, secara logiknya, tidak semestinya calon boleh menang atau "winnable candidates" yang dikehendaki oleh Najib adalah seseorang yang memegang jawatan tinggi baik dalam bahagian mahupun kepimpinan tertinggi BN.

Chin, yang juga Presiden Oriental Strategy Research Centre, berkata jika terdapat seseorang yang berkualiti daripada badan bukan kerajaan (NGO), maka tidak mustahil orang itu layak dipilih sebagai calon BN, asalkan dia menepati kriteria yang ditetapkan.

"Saya percaya Datuk Seri Najib banyak membuat tinjauan, dan berdasarkan tinjauan itu, beliau mampu mengenal pasti calon yang terbaik tidak kira dari parti politik mahupun NGO. Kalau orang itu mempunyai sokongan penuh masyarakat tempatan, kena letakkan dia juga.

"Kita boleh lihat banyak pemimpin berkualiti yang lahir dari NGO. Dan NGO ini pula sudah diiktiraf sebagai Rakan BN. Jadi tidak mustahil kita akan melihat banyak calon payung terjun yang berkemungkinan hanya ahli biasa dalam parti politik, tetapi mempunyai pengaruh berdasarkan NGO yang diwakili," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan