SAYA menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isteri ketika beliau dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak seperti berikut: "Selepas habis pantang, maka jatuh talak satu ke atas engkau!" Ketika kejadian, saya boleh dikatakan tidak normal kerana mengambil ubat tidur secara berlebihan. Soalan saya, adakah sah talak dihantar melalui SMS ketika saya tidak normal?
SUAMI MENYESAL,
Kuala Lumpur.
Jawapan
ISU yang perlu dijelaskan dalam permasalahan ini ialah sama ada jatuh talak melalui SMS dan sama ada jatuh talak oleh suami yang pada masa itu dikatakan tidak normal kerana mengambil ubat tidur berlebihan. Bagi menjawab isu ini, rujukan perlu dibuat terhadap rukun dan syarat sah rukun talak.
Menurut pendapat Shafie, rukun talak ada lima iaitu pentalak, sighah (lafaz), mahal (isteri iaitu perempuan ditalak), wilayah (ada kekuasaan) dan ada qasad ( niat ). Kami percaya isu sama ada jatuh talak atau tidak melalui SMS sudah banyak diperbincangkan dan majoriti pendapat jatuh talak melalui SMS jika pada SMS itu dibuat adanya lafaz dan niat yang jelas daripada suami seperti, "aku ceraikan kau", "aku talak kau" atau "maka tertalaklah engkau".
Persoalan saudara lebih menjurus kepada sama ada jatuh talak jika lafaz dibuat ketika suami tidak normal, dalam kes saudara kerana minum ubat batuk secara berlebihan. Disyaratkan bahawa suami yang melafazkan talak adalah suami yang mukallaf (baligh dan berakal) dan tidak dipaksa.
Dalam kes ini, diandaikan suami itu seorang yang baligh dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak ketika SMS itu ditulis. Isu di sini ialah sama ada sah perlakuan suami itu dengan alasan beliau dalam keadaan tidak normal kerana mengambil ubat tidur secara berlebihan. Adakah maksud suami tidak normal dalam kes ini boleh dikira sebagai mabuk iaitu tidak sedar apa dilakukannya menjadikannya tidak waras?
Menurut Dr Wahbah al Zuhaily dalam kitabnya al Fiqh Islami wa Adillatuhu, bagi talak oleh pentalak yang mabuk atau tidak normal kerana mabuk itu sampai pada peringkat percakapan merepek dan tidak menentu, bercampur-campur dan tidak sedar apa diperkatakan ketika mabuk, maka fuqaha' sepakat berpendapat tidak jatuh talak daripadanya jika ia mabuk yang tidak diharamkan. Maksud mabuk yang tidak diharamkan ialah seperti orang mabuk kerana darurat, terpaksa, kerana dipaksa atau kerana makan sejenis tumbuhan memabukkan walaupun bukan kerana sesuatu keperluan.
Oleh itu, orang berkenaan diberikan keuzuran kerana dia dalam keadaan tidak sedar dan tidak tahu apa yang dilakukan, maka dia seperti orang tidur. Bagaimanapun, dalam keadaan biasa, perkara seperti disebutkan jarang berlaku dalam kehidupan. Keadaan biasa berlaku pada masa kini adalah mabuk dengan cara haram seperti meminum arak dan dia bukan dipaksa.
Menurut pendapat yang kuat bagi jumhur fuqaha', jika seseorang mengambil atau menggunakan bahan memabukkan tanpa sesuatu keperluan atau darurat, maka jatuh talak yang dilafazkan olehnya dalam keadaan mabuk sebagai hukuman dan cegahan terhadapnya daripada melakukan perbuatan maksiat. Lagipun, dia mengambil bahan yang memabukkan itu dengan pilihan sendiri tanpa ada paksaan dan tanpa darurat.
Mengguna pakai hukum dan pendapat jumhur fuqaha' berkaitan mabuk dengan cara yang haram kepada permasalahan saudara ini, adakah saudara mengambil ubat tidur atas sesuatu keperluan atau darurat dengan nasihat dan aturan yang ditetapkan doktor? Saudara menyatakan mengambil ubat tidur secara berlebihan dan menyebabkan saudara boleh dikatakan tidak normal.
Isunya di sini ialah, keadaan tidak normal itu jika dikiaskan dengan pendapat jumhur ialah keadaan mabuk. Sedangkan dalam kes saudara, mengambil ubat tidur secara berlebihan bukan dipaksa. Jika saudara menjadikan alasan darurat untuk mengambil ubat tidur secara berlebihan, setiap ubat yang perlu diambil dari segi perubatan mesti dengan nasihat dan aturan ditetapkan doktor atau ahli perubatan.
Jika seseorang mengambil sesuatu ubat tanpa nasihat dan panduan ahli perubatan, seseorang harus bertanggungjawab dengan kesan dan akibat tindakannya itu. Tindakan mengambil ubat tidur secara berlebihan tanpa nasihat dan panduan ahli perubatan jelas menunjukkan saudara mengambil secara pilihan sendiri dan alasan menjadi tidak normal akibat daripadanya adalah kerana tindakan pilihan saudara sendiri.
Orang yang mukallaf (bertanggungjawab terhadap tindakannya), juga kerana ijma' sahabat Nabi SAW menyatakan kata-kata yang dilafazkan ketika mabuk seperti menuduh perempuan suci berzina dan lain-lain akan dikenakan tindakan. Berdasarkan pendapat jumhur fuqaha', talak yang dijatuhkan melalui penghantaran SMS walau dalam keadaan boleh dikatakan tidak normal kerana tindakan sengaja mengambil ubat tidur secara berlebihan, boleh dikira sah kerana mencukupi rukun pentalak itu sendiri.
Bagaimanapun, hanya hakim syarie yang mempunyai bidang kuasa menentukan pengesahan sesuatu lafaz talak berdasarkan keterangan lanjut daripada saudara mengenai sebab mengambil ubat tidur berlebihan. Saudara perlu mendaftarkan kes pengesahan perceraian di mahkamah syariah di tempat saudara bermastautin dengan kadar segera. Jika mahkamah mensabitkan talak itu sah, saudara perlu mengetahui sama ada tempoh edah isteri masih wujud atau tidak bagi membolehkan saudara rujuk dengan isteri.
SUMBER : SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan