Pengikut

Khamis, 9 September 2010

KISAH AIR MATA DI AIDILFITRI

Air mata di Aidilfitri...
Kenapa akan ada air mata mengalir tumpah takala mendengar takbir raya?
Mengapa ia mengalir tanpa mampu ditahan-tahan lagi?

Malangnya air mata yang mengalir itu bukan lahir dari keinsafan.
Ia hanya disebabkan alunan takbir yang sesekali didengar itu mempengaruhi perasaan dan mencuit emosi. Tidak dinafikan ada manusia ada yang perasaannya mudah tersentuh dengan kesedihan irama lagu, tetapi bersikap tidak peduli apa yang terkandung di dalam lafaz takbir itu seperti juga orang yang menghafal ‘Asma ul-Husna’ kerana didorong oleh lagunya yang amat menarik, sementara sifat-sifat Allah yang terkandung dalam lafaz itu tidak dihiraukan.

Tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid hari raya itu. Walaupun diulang-ulang setiap kali tibanya hari raya, namun tidak banyak yang mengambil tahu maksud dan pengertian lafaz yang diucapkan. Sedangkan antara maksudnya ialah:

"Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyengutukan Allah.

"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janji-Nya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya."

"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allah-lah segala puji-pujian."

Jika benar seperti pengakuannya bahawa dia menyembah Allah yang Esa dan yang Benar segala janji-janjiNya, mengapa pula mereka menjadi hamba kepada tuhan-tuhan ciptaan manusia? Mereka sebenarnya tidak bersedia membantu agama Allah untuk mendaulatkannya di muka bumi ini, walaupun lidah mereka mengaku untuk ikhlas terhadap agama Allah itu.

Jika benar mereka sedar akan laungan sanjungan terhadap Allah yang telah menghancurkan tentera Ahzab (tentera bersekutu kuffar) di zaman Rasulullah sehingga tentera Islam mencapai kejayaan, tetapi kini mengapa tentera bersekutu yang diketuai oleh golongan kuffar diundang dan diberi kepercayaan untuk menyelesaikan pertikaian umat Islam?

Jika demikian keadaannya, sesungguhnya ucapan takbir dan tahmid hari raya tidak lagi dihayati menurut sewajarnya, tetapi ia hanya sekadar senandung irama sayu di pagi raya, yang meruntun hati lantas terbit rasa pilu dan sedih semata-mata kerana suasana dan iramanya. Sedang maksud lafaz sebenarnya terus dilupakan.

Betapa Allah (SWT) menciptakan Aidil Fitri suatu ibadah dapat diukur dengan pengharaman puasa pada hari tersebut. Walaupun puasa itu adalah suatu ibadah, tetapi kerana agungnya Aidil Fitri itu maka Allah (SWT) melarang ibadah puasa dilakukan pada hari tersebut. Ini sebagai anugerah terhadap hambaNya yang telah sanggup berlapar dan dahaga juga menahan kemahuan seksnya di siang hari puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Bagaimanapun larangan berpuasa itu tidak boleh ditafsirkan sebagai isyarat untuk berpesta makanan, mengadakan segala macam jamuan dengan beranika juadah sehingga melampaui batas-batas kesederhanaan yang dituntut oleh Islam dalam semua keadaan.

Apabila meninjau budaya berhari raya di kalangan masyarakat Islam di kalangan masyarakat Islam di rantau Nusantara kebelakangan ini, ia memperlihatkan ibadah Aidil Fitri itu semakin tidak nyata. Ia sudah bercampur-baur dengan segala resam hidup masyarakat setempat dan juga budaya import.

Penulis mengambil kesempatan ini, ingin mengucapkan Salam dan Selamat Aidilfirti buat semua muslimin dan muslimat yang mengikuti blog ini. Segala salah dan silap, terkasar bahasa dan bicara mohon ampun dan maaf. Semoga Aidulfiti memberi sinar baru dalam kehidupan setelah melalui tarbiah ramadhan yang menjanjikan takwa...Amin ya Rabbal Alamin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan