Pengikut

Ahad, 2 Mei 2010

PM: SIASAT SECARA TERBUKA DAN TELUS!

Sibu : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu siasatan berhubung insiden remaja berusia 15 tahun Aminulrasyid Amzah, yang mati akibat terkena tembakan polis pada 26 April lepas, dijalankan secara terbuka dan amat telus.

"Kita tidak boleh bersikap mempertahankan diri kerana orang ramai mahukan jawapannya. Saya pasti polis akan memberi kerjasama penuh (dengan siasatan itu) bagi memuaskan hati keluarga mangsa, yang ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan tengah hari dan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 32 veteran tentera dari Sarawak di Kem Rascom di Briged Infantri Kesembilan di Jalan Ulu Oya, dekat sini pada Ahad.

Dalam kejadian pada 2 pagi Isnin lepas, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11, Shah Alam. Rakan remaja itu sempat melarikan diri.

Ditanya sama ada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan perlu meletak jawatan berikutan insiden itu, Najib berkata: "Anda tidak boleh meminta KPN meletak jawatan disebabkan satu insiden yang bukan merupakan tanggungjawabnya secara langsung."

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan sendiri dengan terlalu cepat menuding jari kepada pihak berkuasa tanpa mengetahui fakta sebenar kejadian.
sumber : BERNAMA

*-Gambar hiasan-tiada kena mengena dengan berita di atas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan