Ambilah pengajaran dari kisah ini.
Usah biarkan kita terjerumus ke lembah kebinasaan dengan sebab nafsu yg tidak mampu dikawal.
Remaja cuba elak kelahiran diketahui
GOMBAK: Seorang remaja perempuan menangis teresak-esak apabila ditahan polis tidak sampai sejam selepas mencampakkan bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat dua ke dalam longkang di Flet Taman Selayang Segar di sini, pagi semalam.
Suspek yang masih bujang dan baru bekerja di restoran itu dua minggu lalu, mengaku membuang bayinya dari koridor tingkat dua flet bagi mengelak kelahiran bayinya diketahui rakan serumah.
Namun, perbuatannya dapat dikesan selepas polis menemui titisan darah yang baru dicuci di lantai flet hingga depan pintu rumah sewanya. Suspek pada mulanya memberitahu sedang datang bulan, tetapi akhirnya mengaku selepas disoal siasat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata berdasarkan siasatan awal polis, suspek mengaku melahirkan bayinya tanpa disedari rakan serumahnya termasuk empat warga Indonesia yang sedang tidur.
Beliau berkata, suspek mendakwa bayinya sudah meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan sebelum membuangnya ke dalam longkang bagi mengelak kelahiran bayi itu diketahui rakan serumah.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti sama ada bayi itu benar-benar meninggal dunia sebelum dicampak suspek.
“Mayat bayi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala suspek dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dengan kawalan polis,” katanya.
Difahamkan, rakan serumahnya tidak mengetahui remaja itu mengandung kerana tubuhnya gempal.
Penduduk flet, Zahrizan Shahari, 27, berkata beliau baru pulang ke rumah dari kampungnya di Jengka, Pahang, sebelum ditegur seorang jiran yang memberitahu ternampak objek seakan-akan bayi dalam longkang.
Zahrizan berkata, beliau kemudian menghampiri longkang itu dan terkejut sebaik melihat mayat bayi perempuan dalam keadaan tertiarap sebelum menghubungi polis.
Sementara itu, seorang bayi dipercayai berbangsa Myanmar ditemui masih hidup yang diletakkan di dalam kotak di lorong belakang sebuah klinik swasta di Jalan Ipoh di sini, petang semalam.
Bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui seorang jururawat klinik swasta berkenaan selepas dimaklumkan oleh seorang lelaki yang secara kebetulan terdengar tangisan bayi berkenaan.
Ekoran keadaan bayi yang masih berlumuran darah dipercayai baru dilahirkan, jururawat itu membawanya ke kliniknya untuk diberikan rawatan.
Selepas dibersihkan dan diperiksa, bayi yang disahkan dalam keadaan sihat itu diserahkan di Balai Polis Sentul.
sumber : SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan