Tindakan penjenayah tersebut memang tak berhati perut.
Setakat ini polis masih buntu...
Terbaca kat sini
Polis buntu identiti dua mayat di Ampang
KUALA LUMPUR: Meskipun seluruh anggota badan mayat wanita dan kanak-kanak lelaki yang ditemui dikerat di sebuah apartmen di Ampang tiga hari lepas telah dilengkapkan, polis masih buntu mengenai identiti mereka.
Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin, berkata setakat ini hanya cap jari wanita itu sahaja yang menjadi petunjuk kepada polis.
Siasatan kini bertumpu kepada keterangan penduduk di apartmen berkenaan memandangkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan perumahan itu tidak berfungsi, katanya.
"Kita belum jumpa tuan rumah sebab rumah itu dipercayai telah ditinggalkan hampir 10 tahun lepas. Jadi, apa yang boleh kita lakukan bagi mencari petunjuk kes ini adalah dengan mengambil keterangan jiran dan menganalisis bukti yang ada dari kedua-dua mayat yang ditemui," katanya.
Ditanya sama ada unit rumah itu merupakan lokasi mayat dikerat, Amiruddin berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.
Laporan penuh daripada semua pihak yang terlibat akan diketahui dalam masa terdekat, katanya.
Rabu lepas, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.
Selepas siasatan awal, polis mengesahkan kesemua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang dianggar berusia antara lima dan enam tahun. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan