Pengikut

Selasa, 26 April 2011

MACAM NAK HENTAM SAYA ATAU MEMANG KENA HENTAM?

Pelik tapi macam benar.
Belum ada perbincangan tapi dah ada keputusan?
Media mana yang buat laporan macam tu?
Media yang dikuasai pemerintah atau yang dikuasai pembangkang?

Hari ini Tan Sri Harussani bagitau, yang dia hanya beri penerangan kenapa ia diharamkan di Perak. Tapi tiada perbincangan lanjut berkenaan isu poco-poco.

Harussani: Poco-poco tak dibincang, saya terkejut pendirian Majlis Fatwa

KUALA LUMPUR, 26 April — Tan Sri Harussani Zakaria mempertikaikan laporan media minggu lalu bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan untuk membenarkan umat Islam menyertai tarian poco-poco di negeri-negeri lain kecuali Perak yang sudah pun membuat fatwa mengharamkannya.

Justeru, tegas Mufti Perak ini, isu tarian poco-poco tidak pernah dibincang pada muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang berakhir Jumaat lalu.

Kata Harussani, beliau hanya memberi penerangan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung pengharaman tarian poco-poco di Perak dan tiada keputusan rasmi dibuat ketika itu.

“Dalam mesyuarat kita tidak bincangkan langsung pasal tarian poco-poco, apa yang berlaku saya hanya memberikan penerangan kenapa ia diharamkan . . . kita tidak bincangkan secara umum isu ini.

“Sebab itu saya terkejut apabila dalam akhbar kata Majlis Fatwa Kebangsaan benarkan tarian poco-poco di negeri lain, kita tidak bincangkan pun perkara ini . . . jadi bagaimana boleh kata macam itu,” katanya.

Harussani (gambar) juga berkata, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dan dimaklumkan media telah salah faham.

“Saya percaya Abdul Shukor tidak bermaksud seperti itu, tapi media tidak faham dan macam nak hentam saya,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata Harussani, Abdul Shukor hanya mengatakan mana-mana tarian yang diamalkan tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Abdul Shukor hanya kata mana-mana tarian kena ikut garis panduan yang ditetapkan pada 2007 termasuk etika berpakaian, tiada lelaki dan perempuan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

“Dan, Abdul Shukor juga kata mufti-mufti boleh ikut garis panduan itu dan mana-mana tarian yang menjurus kepada pemujaan adalah haram... macam tarian poco-poco ia sudah jelas haram,” katanya.

Di akhir mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan Jumaat lalu, Abdul Shukor berkata, umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Kata beliau, umat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan dikeluarkan badan itu sejak 2007, yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.

Bagaimanapun, tambah Abdul Shukor, jawatankuasa itu menghormati keputusan Perak mengharamkan poco-poco di negeri itu sejak Januari lalu.

Justeru kata Harussani, hasil kajian Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak selain merujuk kepada garis panduan yang ditetap telah memutuskan tarian poco-poco adalah haram dan tidak boleh diamalkan di negeri itu.

Selain itu, tegas beliau pengharaman tarian poco-poco tidak akan ditarik balik walaupun dipertikaikan banyak pihak termasuk sesetengah tokoh pemimpin agama.

“Tarian poco-poco adalah haram, macam mana kita nak tarik benda yang sudah haram . . . lagipun kita sudah fatwakan pengharaman tarian poco-poco di Perak.

“Benda haram kita tidak boleh nak ubah walaupun ia hanya untuk senaman. Kita dah buat kajian dan telah mengikut garis panduan, sebab itu kita putuskan tarian poco-poco haram, yang haram kita tidak akan tarik balik,” tegas beliau.

Pada 6 April lalu, Harussani memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau tidak akan menarik balik keputusan mengharamkan tarian poco-poco, sebaliknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa negeri itu membuat keputusan mengharamkan tarian poco-poco selepas membuat kajian dan penelitian mendalam.
sumber :SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan