Pengikut

Rabu, 12 Januari 2011

UMNO SELANGOR : JANGAN LA TUDUH UMNO!!!

Jangan Tuduh Umno, Kata Abdul Shukor Kepada MP Shah Alam

SHAH ALAM, 11 Jan (Bernama) -- Umno Selangor hari ini mengingatkan Anggota Parlimen Shah Alam dari PAS Khalid Abdul Samad agar tidak membuat tuduhan melulu kononnya Umno yang menjadi dalang kepada pemasangan sepanduk yang menyentuh institusi diraja Selangor yang dikesan dipasang di bandar raya ini pagi ini.

Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak lagi tugas untuk mendampingi dan membantu rakyat daripada melakukan kerja tidak beretika sedemikian.

"Lazimnya jika ada perkara yang buruk, pakatan pembangkang akan mendakwa ia dilakukan oleh Umno seolah-olah mereka itu malaikat dan sentiasa betul.

"Kalau Umno bagi bantuan ke, duit ke, PAS kata itu rasuah tapi kalau mereka bagi, duit itu dikira zakat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Khalid pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini bahawa Umno yang bertanggungjawab bagi pemasangan sepanduk yang menyentuh institusi diraja Selangor yang dikesan dipasang di sekitar bandar raya ini pagi tadi.

Pada sepanduk yang tertera perkataan "Di manakah Keadilan Sultan Dalam Isu Pemilihan SUK?, Siapa lebih Berhak" dan "Raja Adil Raja Disembah dan Raja Zalim Raja Disanggah" itu turut tertera lambang DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta perkataan "Biro Penerangan Parti Keadilan Negeri Selangor.

Menafikan sepanduk itu dipasang oleh parti pakatan pembangkang berkenaan, Khalid berkata: "Ini tindakan terdesak orang Umno".

Beliau juga mendakwa tujuan Umno memasang sepanduk itu ialah untuk melaga-lagakan kerajaan pakatan pembangkang dengan institusi diraja Selangor.

Abdul Shukor berkata sepatutnya kerajaan pakatan pembangkang yang mengambil alih Selangor daripada BN menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri dan bukannya sibuk berpolitik dan membuat ceramah ke hulu ke hilir.

Sementara itu, mengenai cabaran Khalid supaya kesemua 20 Anggota Dewan Undangan Negeri dari BN menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadual 24 Jan ini bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan semula kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, beliau berkata: "Kalau undang-undang yang ada sudah baik buat apa nak diubah".

Abdul Shukor berkata pindaan itu sebenarnya lebih kepada untuk mengembalikan kuasa kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah masih lagi mempunyai kuasa kerana kalau tidak masakan Jabatan Perkhidmatan Awam meminta perkenan baginda dalam pelantikan SUK yang baru, katanya.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan di Balai Polis di sini mengenai sepanduk itu.

Ketua AMK Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata laporan polis itu dibuat kerana mendakwa bahawa AMK tidak terbabit dan tidak bertanggungjawab ataupun mencetak kain rentang berkenaan.
BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan