Pengikut

Jumaat, 14 Januari 2011

BERSOLEK PUNYA LA CUNNNN..BOLEH KE?


Ramai yang tak tahu dari tahu.
Ramai yang keliru, silap mentafsir dan salah anggap.
Membiarkan isteri dan anak perempuan mempamerkan perhiasan yang dilarang dan ditegah oleh syariat tanpa sedar dan tanpa kepahaman yang jelas.
Kita berkongsi bersama apa yang dihuraikan oleh Dr. Abdul Hayei berkenaan dengan batas-batas hukum persolekan wanita...
Sumber : SINI

Batas-Batas Hukum Dalam Persolekan Wanita

SOALAN

Saya ingin mendapat penjelasan bagi dua soalan:
1. Saya keliru dengan konsep perhiasan yang harus diambil oleh wanita. Mengapa mereka dibenar menunjukkan perhiasannya hanya kepada suami dan keluarganya sahaja. Apakah jenis perhiasan yang diharamkan wanita mengambilnya dan apa hukum menyimpan kuku panjang dan berambut palsu.
2. Bagaimana jika pada muka saya ditumbuhi bulu-bulu liar, seperti misai dan janggut, bolehkah saya cukur atau cabut. Bagaimana pula jika bulu-bulu itu bertambah tebal pada masa-masa akan datang akibat ia dicukur atau dicabut. -ANA, Kuala Terengganu..

JAWAPAN

Memang pada dasarnya Islam tidak menolak kaum wanita mengambil segala bentuk perhiasan, keindahan dan kecantikan, kerana tabiat semula jadi manusia, terutama kaum wanita sukakan kecantikan dan keindahan. Islam hanya menentukan beberapa garis panduan dalam mengambil perhiasan-perhiasan itu, supaya mereka tidak keterlaluan sehingga mendatangkan mudarat kepada hidupnya.

Dalam al-Qur`an Allah menyebutkan dengan nada yang agak keras, dua perkara yang sedia dihalal oleh Allah kepada orang mukmin, tiada siapa dibenar mengharamkannya, iaitu perhiasan dan makanan yang enak dan lazat. Dalam surah al-A`raf, ayat 32 Allah berfirman:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِيَ أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِي لِلَّذِينَ آمَنُواْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Terjemahan: Katakanlah: Siapakah yang bernai mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk para hamba-Nya dan (siapakah yang mengharamkan) rezeki-rezeki yang baik?. Katakanlah semuanya itu nikmat-nikmat untuk orang yang beriman dan juga yang tidak beriman dalam kehidupan dunia, tetapi nikmat-nikmat itu disediakan khusus untuk orang yang beriman sahaja pada hari Kiamat. Demikianlak Kami menjelaskan ayat-ayat Kami secara terperinci kepada golongan yang mengetahui.

Jika ada sesetengah perhiasan tidak dibenar oleh Islam mengmbilnya, maka atas sebab-sebab mengelak daripada berlakunya kemudaratan kepada manusia sendiri, seperti kain sutera dan emas yang dilarang kaum lelaki mengambilnya, kerana perhiasan-perhiasan ini jika diambil, akan melahirkan insan yang lemah semangat, sedangkan Islam mahukan mereka bersemangat waja, beranai dan sanggup berjihad apabila tiba waktunya.

Bagi kaum wanita pula, tidak harus mempamerkan barang kemas dan perhiasan lahirnya kepada orang bukan suami dan kelurganya yang terdekat kerana boleh membawa padah buruk kepada dirinya. Sering kali nyawa seorang wanita terancam disebabkan pakaian dan barang-barang kemas mereka terdedah kepada umum. Islam menyedari kaum wanita tidak harus dinilai harga dirinya dengan pakaian dan barang-barang kemas yang dipamerkan pada badanya.

Wanita hanya dibenar mempamerkan segala perhiasan dan pakaiannya kepada suami dan keluarganya yang terdekat. Ini kerana wanita atau isteri bagi seorang suami adalah penentu kebahagiaan dalam sesebuah keluarga. Isteri memainkan peranan penentu bagi kejayaan seorang suami. Senyuman manis dan gurauan seorang isteri berfungsi meringankan tekanan hidup yang ditanggung suami. Jika isteri mempamerkan kacantikan dirinya kepada orang yang bukan keluarga, maka seolah-olah suami menikmati kecantikan isterinya secara berkongsi dengan orang lain. Saya merasakan sumai tidak suka menikmati kecantikan isterinya secara berkongsi atau setelah terpakai.

Wanita boleh mengambil perhiasan-perhiasan seperti celak mata, inai dan wangi-wangian yang sederhana baunya, mereka juga boleh berhias dengan emas, perak dan batu-batu permata pada kadar yang munasabah dengan kedudukan kewangannya, mereka dibenar memakai sutera dan semua jenis pakaian yang bermutu tinggi, tetapi dengan syarat hanya ketika berada di rumah, di hadapan suami, anak-anak dan keluarga.

Islam mengharamkan beberapa jenis perhiasan yang dikira melampaui batas-batas kesederhanaan termasuklah menyimpan kuku panjang kerana kuku yang panjang pada hakikatnya aib dan menyalahi sunan al-fitrah (kesucian asli) yang disuruh supaya kita memotongnya. Alasan sama ada kuku itu dijaga atau tidak dijaga kebersihannya tidak menjadi persoalan sama sekali. Berkuku panjang tidak sesuai dengan manusia, apa lagi dengan kaum wanita yang tabiat mereka lemah lembut pada pandangan kaum lelaki. Dalam kitab-kitab Fiqh menyebutkan, antara tanda haiwan yang haram dimakan dagingnya ialah haiwan yang berkuku panjang, kerana haiwan itu biasanya ganas dan suka mencakar mangsanya.

Sesetengah kaum wanita berminat mewarnakan kukunya dengan bahan-bahan plastik yang menghalang sampai air kepada anggota yang wajib dibasuh ketika bermandi atau berwuduk. Sebaik-baiknya bahan ini tidak diguna oleh wanita yang selalu menunaikan salat lima waktu. Jika terpaksa dipakai, hendaklah dibersihkan bahan-bahan itu terlebih dahulu sebelum mandi atau berwuduk, bagi mempastikan air sampai pada tempat-tempat yang wajib dibasuh.

Merujuk kepada soalan kedua yang bertanya tentang sama ada harus atau tidak membuang atau mencabut bulu-bulu liar yang tumbuh sekitar muka. Ulama menyatakan jika bulu-bulu itu menyakitkan jiwa dan perasaan sebagai seorang perempuan, terutama ketika berhadapan dengan orang ramai, maka tiada salahnya bulu-bulu itu dicabut atau dipotong. Allah tidak membebankan seseorang menanggung sesuatu yang memberatkannya dalam agama ini. Jika dibimbangi bulu-bulu liar ini bertambah tebal apabla dipotong, maka terpulanglah kepada jalan yang sebaik-baiknya, tetapi dinasihatkan supaya puan mendapatkan nasihat daripada doktor pakar terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Tabarani daripada seorang wanita yang minat berhias, beliau datang dan bertanya `Aisyah ra sama ada dia boleh mengandam bulu-bulu yang tumbuh sekitar dahinya. Aisyah menjawb: Boleh jika jiwanya terganggu dengan bulu-bulu liar itu. (Dr. Uqlah, Nizam al-Usrah fi al-Islam 2/143)

Jika bulu-bulu itu tidak mengganggu perasaan dan tidak menyulitkan hidup sebagai seorang perempuan, maka lebih baik dibiarkan sahaja sebagaimana adanya. Ini kerana setiap ciptaan Allah itu pasti ada hikmat di sebaliknya, kecualilah jika seseorang perempuan itu ditumbuhi janggut atau misai tebal seperti lelaki, maka hendaklah ia dibuang, bagi membezakan dirinya dengan lelaki.

Tentang hukum memakai rambut palsu, perlu dinyatakan bagaimana rambut palsu itu, jika rambut manusia yang terpisah daripada mereka, sama ada rambutnya sendiri atau rambut orang, maka hukumnya haram (Hasyiah Ibn Abidin, 6/372-373). Jika bukan rambut manusia, seperti bulu-bulu binatang yang dipakai tanpa niat mengelirukan sesiapa, rupanya juga tidak menyerupai rambut manusia, maka hukumnya harus, walaupun sebaik-baiknya dielakkan juga.

Berbicara tentang kecantikan dan perhiasan yang harus diambil seseorang perempaun, saya ingin menyatakan di sini perhiasan dalaman sebenarnya yang menentukan nilai diri seseorang wanita. Perhiasan lahir yang dapat dilihat pada hasil penggunaan bahan-bahan solek hanya sementara dan cantik pada pandangan pertmaa sahaja. Ada juga solekan yang hanya cantik pada setengah orang tetapi buruk pada sesetengah yang lain, sedangkan kecantikan dalaman tetap kekal berpanjangan, cantik bagi semua orang dan tidak berubah.

Kecantikan dalaman yang dimaksudkan ialah iman kepada Allah yang terpancar daripadanya sifat-sifat terpuji, seperti malu, benar dalam tutur kata dan gerak geri, taqwa dan cintakan ilmu. Perhiasan-perhiasan ini sangat menyukakan hati seorang suami kerana faedahnya dapat dirasai anak-anak dan seluruh keluarga.

Akhlak dan hati mulia yang dimilikki seseorang wanita pada hakikatnya adalah penentu kacantikan gerak geri dan tindak tandunya. Salah seorang pujangga mengatakan: Kehidupan sebenar di dunia hanya dipunyai wanita yang berhati mulia, sedangkan mala petaka pula lebih banyak ditempah oleh wanita yang menjolok mata. Pepatah inggeris pula menyebutkan kejayaan seseorang lelaki pasti ada wanita disebaliknya. Kita tambahkan kata-kata itu dengan ungkapan ringkas, kehancuran lelaki juga kerana wanita.

Untuk menjalani liku-liku hidup dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini, tidak cukup dengan wanita yang rupawan sahaja, tetapi hidup memerlukan isteri yang sanggup bersabar menghadapi dugaan, dapat membantu suami dengan lemah lembut dan tenang hati. Isteri yang semata-mata memilikki rupa yang cantik, belum tentu dapat membahagiakan hidup dan menjadikan rumahnya bagaikan syurga sebelum syurga. Ada kemungkinan kecantikan rupa yang tidak disertai kecantikan hati boleh menyulitkan hidup.
Wanita yang profesional dalam hidupnya sebagai isteri ialah yang sanggup berkongsi perasaan dengan suaminya, sedia membantu pada melakukan amal kebajikan, sama-sama bergembira dan sama-sama berduka, dapat menghibur suami dengan senyuman manis meskipun hatinya duka.

Sayyidah Khadijah ra merupakan contoh isteri terbaik, apabila beliau melayani baginda Rasulullah saw sepulangnya baginda dari pertapaan dalam sebuah gua, baginda demam dan menggigil kerana beratnya tekanan wahyu pertama yang disampaikan kepadanya. Kata-kata Khadijah yang menghibur dalam detik-detik cemas itu sungguh bermakna kepada Rasulullah saw. Kata-kata yang dimaksudkan ialah:
كَلَّا وَاللَّهِ ‏ ‏مَا يُخْزِيكَ ‏ ‏اللَّهُ أَبَدًا إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ وَتَحْمِلُ ‏ ‏الْكَلَّ ‏ ‏وَتَكْسِبُ ‏ ‏الْمَعْدُومَ ‏ ‏وَتَقْرِي ‏ ‏الضَّيْفَ وَتُعِينُ عَلَى ‏ ‏نَوَائِبِ ‏ ‏الْحَقِّ [البخاري، بدء الوحي، حديث 3]

Terjemahan: “Bertenanglah! Allah tidak merunsingkan engkau selama-lamanya kerana engkau seorang yang menghubungkan rahim dan engkau seorang yang sedia menanggung kepahitan hidup dan engkau seorang yang suka mengorbankan tenaga kerana orang yang lemah (tidak berada) dan suka memuliakan tetamu dan suka menolong atas yang hak dari cubaan dan bala”

Inilah kata-kata yang cukup menghiburkan seorang suami saat-saat hatinya rasa pilu dengan peristiwa yang tidak diduga berlaku ke atasnya ketika berada dalam gua beberapa saat sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan