Pengikut

Sabtu, 24 Mac 2012

TELANJUR HANYA SEKALI...

Setelah telanjur kerana tidak sedar dan bukan atas kerelaan..
Apa jalan penyelesaiannya?

SAYA mempunyai masalah dan memerlukan pendapat Dr supaya dapat memberi jalan penyelesaian dari segi Islam dan psikologi.

Saya berumur 30 tahun dan mempunyai tiga anak. Kini saya dalam proses menuntut fasakh. Perkahwinan kami penuh dugaan ditambah dengan sikap suami yang banyak melakukan perkara kurang baik.

Malah saya juga bukan manusia yang baik, tetapi mengharapkan bimbingan dan perlindungan darinya. Di sebabkan dia tidak lagi bertanggungjawab, saya minta dilepaskan secara baik namun dia enggan.

Kemudian saya memohon fasakh bagi menuntut keadilan diri saya sejak 2010.

Selepas mengetahui saya memohon fasakh, suami mula bermusuh dengan saya dan anak-anak.

Buat pengetahuan Dr, saya tinggal bersama keluarga. Jadi suami sewenang-wenangnya tidak pulang ke rumah.

Saya reda apa yang berlaku. Masalah saya kini bukan mengenai perkahwinan tetapi diri saya. Tahun lepas saya terlanjur dengan teman perniagaan saya.

Saya tidak sedar apa yang berlaku dan ia hanya berlaku sekali. Demi Allah, bukan atas kerelaan saya, tetapi saya seakan tidak dapat menolak.

Walau sesal bagaimana sekali pun, hati saya tetap tidak tenang. Saya tertekan dan menangis seakan ada beban dalam hati saya yang amat berat tapi tidak dapat saya lepaskan.

Berdepan dengan anak, saya sebenarnya tidak layak menjadi ibu mereka. Benarkah hukuman untuk orang seperti saya adalah rejam sampai mati?

Saya amat takut dengan hukuman sebegitu dan saya harap masih ada jalan untuk saya tebus perbuatan saya.

POHON TAUBAT,
Johor




PERTAMANYA permohonan isteri kepada mahkamah untuk memohon perceraian secara fasakh dengan mengemukakan alasan-alasan yang dibenarkan syarak diterima dalam Islam.

Islam tidak ingin seseorang isteri teraniaya dalam perkahwinan yang tidak mencapai tujuan yang sebenarnya, iaitu mewujudkan suasana tenang dan kasih sayang dalam bentuk luaran serta dalaman kepada pasangan masing-masing.

Kedua, proses yang panjang dan memakan masa serta tindakan negatif suami menyebabkan berlaku perkara lain bertentangan dengan ajaran Islam.

Lantaran itu, usaha perlu diambil supaya kes seperti ini dipercepatkan tanpa menyebabkan berlaku kecuaian daripada mana-mana pihak.

Dalam keadaan sekarang, kedua-dua suami dan isteri juga perlu mengawal perasaan masing-masing. Setiap kita hendaklah menjaga diri supaya tidak terjerumus dalam hubungan luar nikah termasuk zina.

Sememangnya hukuman rejam hingga mati dikenakan bagi pasangan yang sudah berkahwin dalam Islam apabila sabit kesalahan itu.

Islam melihat ia sebagai jenayah sosial yang serius hingga tidak layak hidup di dunia kerana ia sejelek-jelek perbuatan manusia terhadap larangan Allah.

Adanya hukuman berkenaan, pasangan yang berzina tidak dihukum di akhirat supaya menjadi teladan kepada masyarakat umum mengenai nilai baik wajib dipegang masyarakat Islam.

Bagaimanapun, buat masa sekarang puan hendaklah bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Puan hendaklah berazam untuk tidak mengulangi perbuatan zina lagi kerana ia sangat keji di sisi Allah, masyarakat dan diri sendiri.

Seterusnya jangan dibiarkan nafsu menguasai diri. Perbuatan jahat itu hendaklah disembunyikan supaya tidak terdedah di samping mengharapkan keampunan dan rahmat Allah
SUMBER :SINI

Khamis, 22 Mac 2012

TU DIA AAIHH!! BERANI LAWAN TOKEY NI?

Memang berani.
Ada harapan sebagai calon penganti.
Masa ni la nak tunjuk keberanian. Jika tidak melepas...
Dok tunggu jugak kenyataan dari Ketua Pemuda. Tapi tidak ketemu...

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim menggesa sekali lagi agar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan beliau (sebagai Ketua Umno) bagi mengekalkan "kredibiliti parti, sayap, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan.”

Beliau berkata, perletakan jawatan Shahrizat sebagai menteri setelah tempoh senatornya tamat pada 8 April adalah tidak mencukupi, perlu juga sekali dengan kepimpinannya dalam Wanita Umno dan Wanita BN, terutama menjelangnya pilihan raya umum akan datang.

Beliau menambah, ia mengenai tanggapan masyarakat bahawa terdapat sesuatu “yang salah dari segi moral dan politik” berdasarkan cara Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp), yang diuruskan oleh suami dan anak-anak Sharizat menggunakan pinjaman kerajaan.

"Apabila ia melibatkan dana awam, ia melibatkan rakyat. Masyarakat melihat ia sebagai isu negara yang telah mencemarkan imej Kerajaan. Masyarakat mempersoalkan bagaimana NFCorp boleh mendapat pinjaman yang besar dengan kadar faedah hanya 2 peratus dan diberikan tempoh lima tahun sebelum pembayaran balik sedangkan begitu sukar bagi rakyat biasa mendapatkan pinjaman.

"Dan mereka bertanya bagaimana NFCorp boleh membeli kereta dan unit-unit kondominium dengan pinjaman yang dimaksudkan untuk (membeli) lembu," katanya dalam satu temu bual.

"Kredibiliti kami dipertaruhkan. Saya telah pergi ke peringkat akar umbi dan ini secara umumnya apa yang mereka kata. Mereka mendapati sukar untuk bertemu dengan rakyat kerana imej pemimpin mereka (Shahrizat) tercemar.

"Masyarakat 'mempermainkan' Wanita dan memanggil kami 'lembu'. Akar umbi Wanita mengatakan mereka susah nak kerja (sukar untuk bekerja dengan isu yang sedang berlaku ke atas ketua mereka). Dan pembangkang pula memberitahu kami bahawa kami tidak perlu berbuat apa-apa kerana ia akan membuat kerja mereka (untuk pilihan raya umum) lebih mudah.

"Sebagai seorang pemimpin, kita perlu mendengar apa yang akar umbi berkata."

Kamilia mengulas perkara berkenaan dua hari sebelum Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan untuk bertemu dengan pergerakan Wanita.

Beliau berkata, Najib telah menjelaskan bahawa beliau tidak mahu Shahrizat untuk terus menjadi menteri dan kini terpulang kepada Wanita untuk memutuskan sama ada masih boleh menerima beliau sebagai pemimpin yang diingini.

"Sebagai naib ketua, saya perlu melakukan apa yang terbaik untuk parti dan negara. Saya mungkin tidak popular tetapi saya bersedia untuk menerimanya kerana ia adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab saya. Demi kepentingan parti dan Wanita, dia harus pergi," katanya.

Beliau menjelaskan, adalah sesuatu yang pelik bagi Shahrizat berkempen untuk sebuah kerajaan yang bersih, adil dan baik.

"Kami akan serahkan kepada kebijaksanaan beliau terlebih dahulu. Sebagai seorang pemimpin, dia sepatutnya dapat menilai sendiri. Takkan kita nak beritahu (jangan katakan yang kami perlu beritahu apa yang anda perlu lakukan).”

sumber ; sini

Rabu, 21 Mac 2012

HADI, NIK AZIZ, ASRI, UMNO DAN MUFTI PERAK

Rasanya ramai dah baca tentang hukum berurusan dengan yahudi.
Mula-mula TG Hadi Awang dah jelaskan.
Pastu datang pula bayan dari TG Nik Aziz.
Kemudian dari itu memang ada ulasan dari Mufti Perak.
dan yang terbaru dari bekas Mufti.

Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi dan menghukum hanya kerana perbezaan agama.

Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.

Dalam sejarah Nabi SAW; baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai.

Sahabat Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi.

Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit.

Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan Al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab.

Maka, kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan Yahudi yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar.

Adapun yang memerangi Islam, maka dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya.

Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

Ayat di atas menjadi asas urusan antara muslim dan agama lain.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah felo pelawat OCIS, Oxford dan bekas mufti Perlis.
SUMBER :SINI

Isnin, 19 Mac 2012

MENIPU DALAM CERAH...?

Benarkah Malaysia tidak pernah berurusan dengan Zionis?
Atau pembangkang takde kerja lain, hanya asyik memfitnah kerajaan?

Mai kita pakat baca apa kata Tok Guru :

Susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Isnin 19 Mac 2012 di halaman N4 yang bertajuk Presiden PAS Kelirukan Umat Islam, saya ingin membuat sedikit penjelasan lanjut.

Selain itu sukalah saya turut merujuk kepada kenyataan beberapa orang pimpinan UMNO yang menyatakan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dana daripada Yahudi.

Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu.

Jutseru, sedari dulu lagi saya sentiasa konsisten untuk menyatakan bahawa bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT.

Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum.

Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis.
Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi.

Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha :

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

yang bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."

Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga.

Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW.

Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi?

Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.

Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.

Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

Menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel.


Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel.

Saya ingin merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia.

Agak mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa:

".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."

Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan saya, tidak malukah akhbar milik UMNO memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel?

Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi?

Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.

Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan.


Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi. Firman Allah SWT :

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (
7)

yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat..." - Surah al-Fatihah, ayat 6-7

Muslim yang menolak sebahagian ayat-ayat Allah dan menerima ideologi kebangsaan sekular hakikatnya sedang menerima akidah Yahudi sekalipun nama mereka bukan Yahudi. Ini lebih merbahaya. Akidah inilah yang paling penting.

Rasulullah SAW tidak diutuskan hanya untuk mengajar tentang solat dan puasa. Bahkan di dalam sejarah, solat lima waktu hanya difardhukan pada tahun ke-10 kenabian manakala puasa pula pada tahun ke-15 kenabian (tahun kedua hijrah).

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pensyariatan solat dan puasa jika tidak menegakkan akidah?

Hari ini dalam keadaan kemelut jenayah yang semakin meningkat sekalipun negara semakin 'selamat', tidak ada jalan lain untuk menjadi penyelesaian kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT.

Inilah yang PAS lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Pertanyaan saya yang dari dulu hingga sekarang, apakah yang dilakukan oleh PAS di Kelantan yang bertentangan dengan Islam?

Adakah mengharamkan premis judi bertentangan dengan Islam? Adakah menghadkan penjualan arak bertentangan dengan Islam?

Adakah mengalihkan wang kerajaan dari perbankan riba kepada perbankan Islam bertentangan dengan Islam?

Adakah mentadbir negeri dengan bebas daripada rasuah bertentangan dengan Islam? Ini hanyalah beberapa persoalan daripada ribuan persoalan yang wujud apabila UMNO bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Nasihat saya, tinggalkanlah akidah Yahudi. Baliklah kepada akidah Islam yang sebenar, Islam yang syumul dan lengkap yang diturunkan oleh ALlah SWT.

Jika andainya dijemput oleh Allah SWT, adakah dengan penerimaan terhadap Islam pada hari ini boleh menjadi bekal mengadap Allah SWT?


Salam hormat.


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh: 26 Rabiul Akhir bersamaan 19 Mac 2012


sumber : sini

JAWAPAN YANG MUDAH DAN BAGUS.

Tak payah nak ulas panjang lebar.
Segala hasrat boleh je dinyatakan. Paling mudah, biar pihak atasan buat keputusan.
Berlumba-lumba memberi khidmat. Bukan berebut-rebut nak jadi calon... Bila tak dicalonkan, mula la buat hal...









KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menganggap permintaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu untuk bertanding di tiga kerusi parlimen dan 11 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang sekadar hasrat parti itu.

Ini kerana kata Pesuruhjaya PAS Terengganu Abdul Wahid Endut, keputusan akhir terletak pada pucuk pimpinan pusat pakatan pembangkang.

"Itu hasrat dia...dia nak bertanding. Kita juga ada hasrat sendiri, tapi kita tak naklah beritahu, " katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Beliau diminta mengulas laporan media awal bulan ini yang memetik Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail sebagai berkata parti itu berhasrat meletak tiga calon parlimen dan 11 calon DUN di negeri tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata PAS Terengganu yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

"Kita tunggu keputusan pusat," katanya menambah agihan kerusi akan dibuat pimpinan pusat dalam sedikit masa lagi.

Mengenai calon, Abdul Wahid berkata PAS Terengganu masih dalam peringkat mengumpul nama calon sebelum disaring untuk senarai akhir.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR bertanding di dua kerusi parlimen iaitu Kemaman dan Dungun serta lima kerusi DUN iaitu Bandar, Seberang Takir, Telemong, Kota Putera dan Permaisuri, namun kesemua calon mereka tewas di tangan calon Barisan Nasional. - BERNAMA