Pengikut

Rabu, 1 Disember 2010

WikiLeaks : Singapura sangat bimbang...

SINGAPURA 1 DIS : Singapura hari ini melahirkan rasa kebimbangan yang amat sangat berhubung pendedahan dokumen sulit diplomatik Amerika Syarikat kepada umum oleh laman web WikiLeaks, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai 'merosakkan'.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam berkata adalah kritikal untuk melindungi dokumen rasmi dan surat-menyurat diplomatik sulit dan sebab itu Singapura mempunyai Akta Rahsia Rasmi lapor Bernama.


"Khususnya pendedahan dokumen secara pilihan khususnya apabila ditafsir diluar konteks, hanya akan menyemai kekeliruan dan gagal memberi gambaran menyeluruh mengenai isu-isu penting yang sedang dibincangkan pada tahap kerahsiaan yang tinggi di kalangan pemimpin," katanya.

Kementerian itu mengulas pertanyaan media berhubung laporan media asing mengenai pendedahan saluran diplomatik Amerika Syarikat oleh WikiLeaks yang menyebut bapa pengasas Singapura, Lee Kuan Yew mengelar rakyat Korea Utara sebagai 'psikopat' dan pemimpinnya Kim Jong-II sebagai 'orang tua yang lembik' yang dahagakan pujaan orang awam.

Dalam dokumen memperincikan perbualan antara Lee dan Timbalan Setiausaha Negara James B.Steinberg pada Mei tahun lepas, Lee berkata beliau akan terkejut sekiranya Korea Utara bersetuju melepaskan senjata nuklearnya.

"Mereka ini jenis psikopat dengan orang tua lembik sebagai pemimpin yangmelompat-lompat di sekitar stadium mencari pemujian," menurut dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia, yang dipetik oleh laporan akhbar.

Dokumen itu menyebut Lee membandingkan nasib rakyat Korea Utara dengan pengalamannya semasa penjajahan Jepun di negaranya semasa Perang Dunia Kedua.

"MM (Menteri Mentor) Lee sebut beliau telah mempelajari hidup selama tiga setengah tahun di bawah penjajahan Jepun di Singapura yang rakyat akan mematuhi pihak berkuasa yang boleh menafikan mereka makanan, pakaian dan ubat-ubatan,"menurut dokumen yang dibongkarkan itu.

"Korea Utara mungkin juga menyerahkan 'kapasiti serangan pertama' tetapi akan menyimpan senjata atom 'sekiranya USG (kerajaan Amerika Syarikat) mengambil keputusan untuk mengubah rejim," mengikut dokumen sulit itu.

Lee juga berkata beliau percaya Jepun mungkin beralih kepada nuklear sebagai tindak balas terhadap tindakan Korea itu.
sumber :bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan