Pengikut

Isnin, 29 November 2010

SEBAK SEORANG AYAH...

Ini kisah tentang masyarakat sekeliling kita.
Cerita antara kasih seorang ayah dan kasih seorang anak.
Betapa hibanya hati seorang ayah...
Titisan air mata sudah pasti tidak mampu ditahan lagi...

CHUKAI – Seorang bapa warga emas terduduk kerana tidak mampu menahan sebak apabila anak tunggal dan menantunya tergamak meninggalkannya sendirian dalam keadaan sakit di Masjid Geliga sedangkan pada awalnya kedua-dua berjanji membawa warga emas itu berubat bagi merawat penyakit kencing manisnya di Hospital Mersing, Johor.

Akibat ditinggalkan keseorangan di Masjid Geliga kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, warga emas yang dikenali sebagai Zulkifli Mustapa, 60, menerusi kad kerja yang berada didalam dompetnya terpaksa bermalam dalam kesejukan di masjid itu sebelum diselamatkan anggota polis peronda yang menemuinya dalam keadaan lemah di Stesen Bas Geliga bersebelahan masjid itu pada pagi semalam.

Lebih menyayat hati apabila kaki Zulkifli turut dihurungi semut halus ketika ditemui, malah dia juga ditinggalkan sehelai sepinggang dengan hanya berkain pelikat dan berbaju T lengan panjang serta hanya mempunyai wang RM30 di dalam dompet iaitu yang disedekahkan sepupunya sebelum mereka bertolak.

Zulkifli ketika ditemui Sinar Harian di Balai Polis Chukai berkata, dia menyedari anak dan menantunya sudah tiada di masjid berkenaan selepas menunaikan solat Isyak kerana mereka mengambil keputusan untuk berhenti menunaikan solat di masjid itu sebelum meneruskan perjalanan ke rumah menantunya di Mersing selepas bertolak pada jam 10 malam dari rumah arwah ibunya di Pulau Musang, Kuala Terengganu.

“Selepas solat Isyak saya sedar anak dan menantu saya sudah tidak ada, mereka tinggalkan saya. Sebelum ini mereka kata mahu bawa saya berubat kaki yang luka di Hospital Mersing,” katanya sebak.

Kata Zulkifli yang juga baru sahaja keluar wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat penyakit kencing manisnya itu, sebelum ini anak perempuannya yang berusia 20 tahun bersama menantunya yang berumur 30 tahun dan bekerja menjual ikan di Larkin, Johor beria-ia mahu membawanya mendapatkan rawatan di Mersing.

“Sudah hampir empat tahun saya tinggal dengan anak perempuan dan menantu saya di Mersing tetapi selepas saya mengalami kemala-ngan ketika pulang ke kampung pada lapan bulan lalu, saya ditahan di wad HSNZ sebelum dibenarkan keluar dan saya tinggal berseorangan di rumah pusaka arwah ibu di Pulau Musang.

“Anak tunggal saya tinggal bersama suaminya, namun saya bersyukur saudara mara selalu datang menjenguk saya.

“Tetapi sejak akhir-akhir ini berikutan kemalangan tempoh hari ditambah dengan penyakit kencing manis yang saya hidapi menyebabkan lutut saya bengkak dan luka di bahagian kaki semakin besar sebab itulah anak menantu datang dan berjanji mahu membantu mengubati saya, malah saya juga baru sahaja keluar wad baru-baru ini dan masih belum mampu berjalan dengan baik,” katanya.

Pada masa sama Zulkifli turut mengakui ketika tinggal bersama anaknya, anak tidak begitu mengambil berat mengenainya sehingga dia terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi mencari duit poket untuk menampung kehidupannya seharian.

Sementara itu, akibat keadaan kesihatan Zulkifli yang tidak mengizinkan, pegawai Pejabat Kebajikan Daerah Kemaman yang tiba di balai polis kemudian menghantar warga emas itu mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.
sumber : sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan