Positif...
Rasanya ramai dah ahli PAS yang dah baca.
Dan tentu ada lagi yang masih belum baca.
Kalangan ahli Umno dan sekutunya kena baca sama.
Begitu juga yang cenderung dan condong kepada Umno pun kena baca.
Tidak ketinggalan pada para penyokong PKR...
Kenyataan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden
UMNO, supaya menjadikan syaitan yang dikenali sebagai rakan yang
didampingi lebih baik daripada berkawan dengan malaikat yang tidak
dikenali perlu dilihat secara positif, khususnya oleh pendokong UMNO.
Kata-kata itu bersumberkan pepatah barat yang diucapkan oleh mendiang
Winston Churchil, mantan Perdana Menteri British ketika perang dunia
kedua. Apabila sangat terdesak di peringkat awal menghadapi kemaraan
tentera Jerman, lalu beliau mengizinkan bersahabat dengan negara pernah
bermusuh dengan Britain seperti Perancis dan lain-lain.
Mengikut kaedah Usul Feqh Islam, sesuatu dalil itu perlu dilihat
dalam dua aspek. Mantuq (yang dilafazkan atau diucap) dan Mafhum (yang
difahami). Kadang-kadang diambil mafhum yang berlawanan dengannya.
Saya berpendapat secara positif daripada kenyataan yang jelas itu
memberi mafhum, supaya ahli UMNO yang beragama Islam meninggalkan UMNO
dan menjadikan PAS sebagai gantinya, sekiranya tidak mampu melawan
syaitan yang ada dalam UMNO atau menghapuskannya bagi menyelamatkan
UMNO. Ini kerana bersama syaitan akan membawa akibat buruk di dunia dan
akhirat bagi seseorang Islam.
PAS adalah parti manusia bukan
parti malaikat dan bukan parti syaitan. Manusia yang diajar dan
ditarbiyah oleh Allah sejak bapa dan ibu yang pertama-tamanya iaitu Adam
dan Hawa. Allah mengajar Adam mengenal Tuhannya Allah sahaja dan tidak
ada sekutu baginya. Beliau turut diajar mengenali para malaikat dan
mengenali iblis yang menjadi ketua syaitan seluruhnya.
Tujuan
manusia diciptakan supaya beribadat kepada Allah seperti makhluk yang
lain dan dikurnia keistemewaan ditugaskan menjadi Khalifah di bumi,
kerana sesuai dengan fitrahnya. Terpenting daripada khalifah itu ialah
berpolitik, mentadbir urusan dunia dengan agama Allah (Al Din).
Iblis adalah pemimpin syaitan, makhluk jahat yang telah melakukan
kekacauan di bumi sebelum manusia diletakkan mengikut keputusan Allah.
Iblis ditawan oleh para malaikat dan menjadi tawanan bersama mereka dan
diminta berlaku baik bersama para malaikat. Tetapi Iblis hanya berlakon
dan berpura-pura baik, tanpa diketahui oleh para malaikat segala yang
tersirat dan tersembunyi dalam dirinya.
Allah memperkenalkan
para malaikat kepada Adam dan Hawa, bahawa mereka adalah makhluk paling
baik menjadi contoh dan kawan, kerana sangat taat kepada Allah dan tidak
sekali-kali menderhakai Allah. Begitulah tabiat para malaikat makhluk
yang mulia itu. Allah juga mendedahkan kejahatan yang tersirat dalam
diri Iblis dan begitulah juga pengikutnya yang ada di bumi. Mereka
adalah bakal pencabar kepada makhluk manusia yang beriman dan budiman.
Al Quran mengesahkan betapa para malaikat itu sangat mentaati Allah,
sehingga menawarkan diri bertugas di bumi bukannya manusia. Menunjukkan
sikap berlumba mentaati Allah. Apabila Allah mendedahkan kelebihan Adam
kepada para malaikatnya, Adam makhluk manusia yang diberi ilmu
bertugas dibumi dengan sifat kejadiannya yang berbeza dengan kejadian
malaikat. Banyak perkara yang tidak ada kepada malaikat. Maka para
malaikat menunjukkan sifat tawadu’ dihadapan Allah serta memuji dan
bertasbih. Allah mengesahkan dengan firmannya:
وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى
الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ
صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا
عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آَدَمُ
أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ
أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33)
(Dan
Allah mengajar kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian dibentangkan
kepada para malaikat. Lalu mereka berkata :”Maha Suci Engkau. Tidaklah
kami ketahui malainkan sekadar apa yang Engkau ajarkan kepada kami “.
Allah berfirman kepada Adam :” ceritakan kepada mereka nama-nama
semuanya “. Setelah Adam menyebut nama-nama semuanya. Allah berfirman :”
Tidakkah aku katakan kepada kamu, bahawa aku mengetahui apa-apa yang
tersembunyi di langit dan bumi dan aku mengetahui apa-apa yang kamu
nyata dan kamu sembunyikan?). (Al-Baqarah: 31-33).
Allah
tidak dengan segera menghantar Adam dan Hawa ke bumi, tetapi lebih
dahulu mereka diajar dan ditarbiyah di syurga, menikmati sifat–sifat
yang ada pada diri manusia dan menyatakan sempadan halal dan haram
apabila tiba di bumi nanti. Adanya perkara bagi makhluk yang lain, bukan
untuk manusia, kalau melampauinya membawa mudarat. Allah juga mengajar
dan tarbiyah Adam dan Hawa dengan melakukan dosa kesalahan secara
mendedahkan sifat jahat yang tetap ada pada Iblis dan pengikutnya
dikalangan syaitan, jin dan manusia, yang akan dihadapi oleh manusia
ketika menjalankan tugas mereka di bumi nanti.
Pendedahan
dilakukan, bermula dengan secara bersama mengadap Allah. Apabila Allah
memerintah mereka sujud kepada makhluk Adam bagi meraikan kejadian dan
tugasnya. Tiba-tiba para malaikat sahaja yang sujud menunaikan perintah
Allah. Iblis pemimpin syaitan pula tidak mahu sujud. Mendedahkan sifat
buruk yang ada pada dirinya dan begitulah juga pengikutnya. Ketiga-tiga
sifat itu ialah: enggan (derhaka), takabbur (sombong) dan kufur (ingkar
melawan Tuhan). Seterusnya Allah memberi tahu Adam, dengan mendedahkan
sifat yang keempat pada diri Iblis dan pengikutnya, iaitu menipu dengan
apa cara sahaja, termasuk cara menggoda. Ternyata selepas diletakkan
dalam syurga, Adam dan Hawa tertipu dengan godaan Iblis pemimpin syaitan
itu, sehingga dihalau ke bumi bagi melaksanakan tugas mereka dengan
segala cabarannya. Allah memberi hidayah kepada Adam dan Hawa kerana
menyesal setelah berfikir dengan akal yang betul, sehingga bertaubat.
Ada pun Iblis dan para syaitan bersamanya, dikalangan jin dan manusia
tidak bertaubat sehingga mati, kerana sifat angkuh dan sombong. yang
merasakan diri mereka terlalu bijak sehingga tidak perlu bergantung
kepada Allah.
Adam dan para Rasul yang dilantik membawa
petunjuk Allah yang dinamakan Islam diperintah supaya beriman kepada
malaikat disamping beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.
Beriman kepada para malaikat termasuk dalam rukun iman, bukan sahaja
menganalinya sebagai makhluk yang tidak derhaka dan tidak berdosa,
bahkan malaikat itu sentiasa bersama orang-orang yang beriman dan
mengerjakan amal yang soleh. Sesiapa yang memusuhi para malaikat
bermakna memusuhi Allah dan Rasulnya.
Kita wajib juga beriman
kepada adanya syaitan, termasuk dalam beriman kepada perkara yang ghaib.
Wajib percaya bahawa syaitan itu makhluk paling jahat dan menipu.
Mengikut syaitan dan menjadi penolongnya atau bersamanya bermakna ditipu
dan menempah celaka dunia dan akhirat.
UMNO diakui oleh Tun
Mahathir ada syaitan yang dikenali. Rosaknya hingga ke usus, dilanda
rasuah dalaman di semua peringkat dalam pemilihan daripada cawangan,
bahagian, sehinggalah tertinggi. Namun tidak bersedia dirawat atau
berundur bagi mengislahkan diri saperti semua parti dalam negara
demokrasi tulen. Sebaliknya tetap mempertahankan kuasa dengan apa sahaja
termasuk meggoda pengundi dengan rasuah pilihanraya, menaikkan pangkat
kepada jentera kerajaan yang membantu kemenangannya, menipu undi demi
kemenangan dan menggunakan media menutup kebatilan. Ia hanya menyatakan
apa yang benar dilakukan secara menggoda. Sehinggalah rakyat tidak mampu
menjadi hakim yang adil ketika mengundi.
Al Marhum Tunku Abdul
Rahman, Presiden pertama UMNO dan Bapa kemerdekaan meninggalkan UMNO.
Oleh kerana usianya panjang, beliau sempat melihat tanda-tanda awal
penyakit yang ada pada UMNO, diikuti oleh ramai lagi para pemimpin yang
sedar dan peka. Tun Mahathir pula sudah dua kali keluar masuk UMNO.
Semuanya sudah cukup bagi ahli UMNO membuat keputusan untuk tidak
bersama syaitan yang sudah dikenali dan berusaha bersama manusia PAS
memohon pertolongan Allah dan para malaikat yang nyata baiknya bagi
menyelamatkan negara dan bangsa bersama Islam yang termaktub dengan
nyata dalam kitab Allah dan huraian Rasulullah S.A.W. dalam Sunnahnya
yang nyata. Inilah panduan tertinggi PAS, dicatat dalam undang-undang
tubuhnya .
Apabila wajib beriman kepada malaikat dan mereka
adalah makhluk paling baik kerana taat dan tidak berdosa. Wajib pula
beriman adanya makhluk Iblis dan para pengikutnya dikalangan manusia dan
jin, yang dinamakan syaitan, makhluk paling jahat, menipu dan menggoda,
sehingga mati tidak bertaubat. Maka jadikan kenyataan Tun Mahathir
mengikut mafhumnya adalah nasihat dan amaran. Ini kerana kalau difahami
secara nasnya, sangat bercanggah dengan nas Al Quran. Hadis Rasulullah
S.A.W. yang lebih daripada ucapan yang lain tidak boleh bercanggah
dengan Al Quran. Allah berfirman dalam surah Yasin yang dibaca oleh
kebanyakan umat Islam, termasuk dianjurkan oleh Umno, maksudnya:
60. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu dengan
perjanjian,wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan?
Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
61. "Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan Yang Lurus.
62. "Dan Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai
di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah
sepatutnya kamu berfikir dengan akal yang insaf?. (Surah Yaasin: 60-62)
Allah juga mendedahkan diantara godaan syaitan itu tidak melaksanakan
Islam seluruhnya, tetapi sebahagian sahaja daripada ajaran dan
meninggalkan sebahagian yang lain. Firman Allah, maksudnya:
208.
Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam
semuanya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya;) dan janganlah kamu
menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu
Yang terang nyata. (Al Baqarah: 208).
Allah juga memberitahu bahawa syaitan mengugut dengan kemiskinan kalau melawannya, maksudnya:
268.
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan
kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang
Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan
kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha luas limpah kurniaNya, lagi
sentiasa meliputi pengetahuanNya.) (Al Baqarah: 268).
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
Sumber : SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan