KUALA LUMPUR, 24 Jan: Kejayaan parti Hamas menubuhkan kerajaan di Palestin jelas membuktikan perjuangan Islam di mana-mana sekali pun di dunia ini pasti akan mendapat kemenangan juga akhirnya, walaupun ditentang setiap masa dengan pelbagai cara oleh musuh-musuh Islam.
Hamas dan PAS merupakan parti yang mempunyai dasar perjuangan yang sama, namun cabaran yang dialami oleh para pejuang Hamas jauh lebih hebat berbanding pejuang-pejuang PAS di tanah air.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan pejuang-pejuang Hamas di Gaza jelas berlaku kerana pertolongan Allah kepada mereka, di samping pertolongan sesama manusia di serata dunia.
Menurut beliau, Hamas dan pejuang-pejuangnya bukanlah parti dan nama-nama asing bagi PAS dan umat Islam di negara ini. Oleh itu, pelbagai pertolongan kepada mereka pasti akan terus dihulurkan dari semasa ke semasa.
"Hamas adalah parti Islam yang sama juga dengan PAS di Malaysia. Perjuangan para pejuang Hamas sememangnya memberikan pelbagai pengajaran kepada umat Islam lain.
"Mereka terpaksa menempuhi jalan amat sukar untuk menang, tetapi akhirnya mereka menang juga. Itu membuktikan bahawa perjuangan atas nama iman dan Islam pasti akan berjaya walaupun terpaksa menghadapi tentangan bukan sahaja daripada orang-orang kafir, tetapi pengkhianatan dari kalangan umat Islam sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kedatangan rombongan wakil Kerajaan Hamas di Gaza yang dalam kunjungan mereka untuk menemui beliau di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Rombongan tersebut diketuai oleh Pengarah Besar Pejabat Perdana Menteri Kerajaan Hamas, Hani I. Y. Abu Owda, manakala anggota-anggota rombongannya pula terdiri daripada Muat Haniyyah yang juga anak kepada Perdana Menteri Ismail Haniyyah, Dr Mahmoud Z. M. El Madhoun yang juga Pengarah Besar Program Latihan Diplomasi, Rami J.H. Al Ghamri yang juga jurutera dan Read Abu Dayer yang juga pegawai di Jabatan Perdana Menteri.
Selain Abdul Hadi, turut menyambut mereka di Pejabat Agung PAS termasuklah Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa, AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha dan AJK Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz Nawi dan Amran Al-Malizi.
Menurut Abdul Hadi, cabaran dan keperitan yang dialami oleh para pejuang Hamas, antara lain boleh dihalusi dengan cabaran yang dialami oleh para pejuang Hizbullah di Lubnan yang menyaksikan kegagalan musuh Islam dan pihak sekular, walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan tentangan hebat pihak musuh yang menggunakan senjata canggih.
"Kita amat sedih apabila ramai pemimpin dan pejuang-pejuang Hizbullah di Lubnan seperti Hassan Al-Bana akhirnya ditangkap akibat pengkhianatan umat Islam sendiri. Sesudah itu, golongan sekular pula yang mengambil alih tampuk pemerintahan.
"Namun akhirnya terbukti juga, golongan sekular tetap gagal. Yang berjaya adalah perjuangan Islam seperti yang berlaku di Gaza sekarang," katanya.
Apa yang berlaku di Gaza itu, katanya, sewajarnya diambil pengajaran oleh setiap pihak terutama umat Islam sendiri bagi memperkuatkan iman masing-masing agar perjuangan Islam jangan sampai dikhianati umat Islam sendiri.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar seluruh umat Islam sedar dengan kelebihan perjuangan Islam itu sendiri berbanding perjuangan-perjuangan atas nama-nama lain, bagi membolehkan semua pihak kembali bersatu atas nama iman dan Islam, sementara masih diberikan kesempatan hidup di dunia ini oleh Allah SWT.
SUMBER : HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan