Jahil bererti bodoh.
Berada dalam kejahilan adalah suatu kerugian.
Berusahalah agar kejahilan tidak membelenggu diri kita.
Jika dulu jahil, biarlah kini jadi orang yang berilmu dan cenderung menuntut ilmu.
Jika dulu dan kini jahil, berusahalah jangan jadi jahil pada masa depan.
Usahlah jadi manusia yang jahil dan berusaha pula nak menjahilkan orang lain.
paling malang, tidak tahu dirinya jahil,bersungguh-sungguh nak kekalkan kejahilan malahan berbangga dengan kejahilan yang dimiliki.
Mudah-mudahan salah silap kita dari kejahilan, kita bersegera memohon ampun. Mencari ilmu dan kepahaman.
Mari kita baca serba sedikit penjelasan dari Tuan Guru berkenaan dengan Amanat.Bagi yang mahukan pencerahan lebih mendalam bolehlah membaca buku beliau :"Mukaddimah Akidah Muslimin"
Tapi sebelum tu, marilah kita baca apa kata guru kita Al-Alamah Dr Yusuf Al-Qardawi Al-Hafiz. Barangkali kita akan ketemu titik persamaan pada kata-kata beliau dengan Tg Haji Hadi.
Saya tidak menduga petikan ucapan saya diawal 80-an telah
dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam PAS yang telah melompat
masuk UMNO selepasnya, telah dijadikan satu polemik. Petikan ucapan saya
ini pula secara terancang telah dijadikan hujah untuk merendahkan PAS,
dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya bahawa isu lama ini diberi
nyawa semula oleh UMNO, mungkin kerana menutup isu yang dikira
menghantui mereka, seperti kegusaran generasi peneroka FELDA dan
penyelewengan yang berlaku kepada FELDA, riuh-rendah pembongkaran
Deepak, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan lain-lain
kelemahan kerajaan UMNO-BN yang begitu menekan mereka di hujung penggal
pemerintahan ini. Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah kehadapan
untuk menyahut cabaran, manakala mereka pula berundur sepuluh langkah
kebelakang.
Isu
“takfir” (kafir mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular di dalam
UMNO, diseluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi menyanggah
kebangkitan Islam di zaman selepas mencapai kemerdekaan seawal tahun
60an. Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa serangan pemikiran
barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa oleh penjajah ke
dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih menganut Islam, tetapi
kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam yang dinaskan dalam
al-Quran dan Hadith sahih lagi mutawatir, seperti halal dan haram,
hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat, politik,ekonomi
dan sebagainya.
Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan
hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana
kejahilan. Di waktu itulah kita mendengar istilah ‘hantu kum-kum’
dilabelkan kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai
hijab. Ada pula yang berdiri diatas pentas komunis yang menolak adanya
Tuhan dan menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang. Sebahagian
umat Islam pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan
mempertahankannya, tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama)
yang menegaskan hukum murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat
dizaman kita bitu dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya.
Akhirnya berlakulah gejala murtad secara jahil di satu pihak dan
penentangan terhadapnya disatu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu
kafir mengkafir dalam masyarakat Islam.
Isu ini berlaku diseluruh
dunia Islam. Malangnya golongan yang berkuasa memerintah mengambil
kesempatan perpecahan masyarakat Islam bagi mengekalkan kedudukan mereka
diatas landasan yang salah dan menjadikan parti Islam dan paraulamanya
sebagai kambing hitam yang dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan
sebagainya.Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang
bagi terus memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil
peduli kerosakan akidah yang berlaku.
Ramai di kalangan ulama
PAS dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara sejak awal60an, malangnya
ramai pula kalangan agamawan yang menjadi syaitan bisu, tidak berani
menegur atau menasihati pemimpin yang menghina Islam. Maka meledaklah
pada waktu itu kenyataan seperti : “Kalau laksanakan hukum Islam
berlakulah huru-hara, tak cukup batu nak bina jalan dan bangunan,
boleh makan sup tangan bila banyak tangan dipotong kerana mencuri” dan
sebagainya. Di peringkat kampung ada yang menjadi imam masjid membuat
ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam sepenuhnya, hanya tahu hukum
sembahyang dan ibadat yang lain sahaja. Terlalu jauh untuk mengetahui
sistem politik, ekonomi Islam dan segala sistemnya sehingga keperingkat
antarabangsa dan angkasa lepas.
PAS dan parti Islam di negara
lain menghadapi cabaran getir bagi membetulkan masyarakat yang songsang
pemikirannya ini. Ketika itulah kita berdepan dengan umat yang jahil,
para ulama yang lemah dan kerajaan yang zalim. Di negara Arab,Mursyid Am
Ikhwan Muslimin Sheikh Hasan Hudaibi menulis buku “Nahnu Dua’at La
Qudat” (Kita Pendakwah Bukan Hakim Yang menjatuhkan hukuman). PAS berada
dalam kerajaan campuran 1970 -1978 memberi kesempatan kepada bahagian
agama Jabatan Perdana Menteri, menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1
menampilkan perkara yang merosakkan iman (membatalkan iman), bagi
menyedarkan penganut Islam adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah
Syahadah, bukan sahaja membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan
pengikut UMNO tidak mempelajarinya di waktu itu.
Apabila PAS
ditendang keluardaripada BN pada tahun 1979 isu kafir mengkafir
dihidupkan semula. Pimpinan PAS dibawah pimpinan Datuk Asri, telah
menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya “Batas – Batas Iman
dan Kufur” dengan huraian yang lebih terperinci daripada kitab Mustika
Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan lagi dalam
buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.
Apabila
kalangan UMNO yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka sengaja
mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi mereka,
sehingga ke satu capan saya di selidik oleh pasukan yang ditugaskan
secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan munasabah. Saya
telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982. Saya terus
menjawab :”Ya ! Sebenarnya itu ucapan saya “. Maka hamba Allah yang
mencari peluang terus mengangkat martabatnya kepada nama amanat yang
disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis daripada ucapan yang
panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej untuk menyelamatkan umat
daripada gejala murtad secara jahil dan tidak sengaja.
PAS
berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam UMNO secara langsung
dan melalui pihak ketiga kalangan NGO Islam, dengan ruang terbuka
dengan UMNO boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang sanggup
menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu secara
terbuka. UMNO tidak menjawab.
Tiba-tiba Presiden UMNO di masa itu
memberi isyarat kepada kalangan agama dalam UMNO supaya berdebat,
dengan tajuk secara unilateral pihak UMNO yang menentukannya tanpa
berunding dengan pihak PAS, pihak UMNO melantik pengerusi dan penentuan
masa. PAS menerima dengan terbuka. Akhirnya PAS dipujuk membatalkan
debat dengan UMNO, padahal UMNO lah yang membuka pintunya. Akhirnya UMNO
terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar
Raja-Raja yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan
tarikh puasa dan hari raya.
Saya bentangkan senario tersebut
semata –mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum
baligh di masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan
hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang
sebenarnya.
Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak
kedengaran lagi suara dari kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa
politik tidak ada kaitan dengan agama ataupun yang berani menghina hukum
Islam seperti yang berlaku dalam tahun 80an dahulu. Di sini kita
mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab
yang menghina Islam. Maka saya nasihatkan kepada ahli PAS tidak melatah
dengan permainan kalangan UMNO yang masih jahil atau hanya mencari
kesempatan tanpa batas halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan
pahala.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan hamba-hamba
(Allah) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi
dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang
adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan
yang selamat sejahtera dari perkara yang tidak diingini." (al-Furqaan : 63)
Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
10 Januari 2013
Sumber : sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan