Sekiranya peralihan kuasa itu tidak menguntungkan Israel dan US, pastinya mereka tidak sama sekali menyokongnya..
Amr Mussa juga berminat jadi presiden baru
WASHINGTON: Amerika Syarikat sedang berbincang dengan kerajaan Mesir kelmarin mengenai peralihan kuasa dengan ‘segera’ dan dilaporkan memberi tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak untuk berundur serta-merta.
Amerika sudah ada rancangan supaya Mubarak berundur serta-merta, menyerahkan kuasanya kepada sebuah kerajaan peralihan diketuai Naib Presiden, Omar Suleiman, lapor akhbar The New York Times (NYT), kelmarin.
Jurucakap Rumah Putih, Tommy Vietor memberitahu: “Presiden berkata sudah sampai masanya untuk memulakan satu peralihan aman, teratur dan bermakna dengan rundingan boleh dipercayai.
“Kami sudah berbincang dengan pihak berkuasa Mesir pelbagai cara berbeza untuk menggerakkan proses itu ke hadapan, namun semua keputusan perlu dibuat rakyat Mesir,” tambah Vietor.
Secara berasingan, seorang pegawai kanan Amerika berkata: “Adalah salah untuk melaporkan bahawa ada perancangan tunggal Amerika yang dirunding dengan pihak berkuasa Mesir.”
NYT melaporkan, walaupun Mubarak enggan berundur segera, pegawai kedua-dua kerajaan berbincang supaya Suleiman, disokong angkatan tentera Mesir, memulakan proses pembaharuan Perlembagaan. Cuma, belum jelas sama ada Suleiman sudah bersetuju mengambil alih segera.
Akhbar itu berkata, cadangan gesaan kepada kerajaan peralihan termasuk menjemput anggota dari kalangan kumpulan pembangkang meluas termasuk kumpulan diharamkan, Ikhwanul Muslimin, untuk memulakan satu proses pilihan raya bebas dan adil September depan.
Di KAHERAH, Mubarak berkata beliau sedia berundur tetapi bimbang negaranya akan menjadi kucar-kacir ketika penunjuk perasaan sekali lagi berhimpun di Dataran Tahrir menggelarkan protes terbaru sebagai ‘Hari Menyambut Pemergian (Mubarak).’
Pemimpin berusia 82 tahun itu berkata, beliau bosan menjadi presiden dan mahu meletakkan jawatan tetapi keadaan tidak membenarkan kerana bimbang Mesir menjadi lebih kucar-kacir, katanya dalam temu ramah dengan ABC.
“Saya tidak kisah apa yang orang kata mengenai saya. Ketika ini, apa yang saya pentingkan ialah negara. Saya sayangkan Mesir. Saya sedih mengenai apa terjadi semalam. Saya tidak mahu rakyat Mesir bergaduh sesama sendiri. Ikhwanul yang bersalah,” katanya.
Ditanya apa perasaannya, Mubarak berkata: “Saya rasa masih kuat. Saya tidak akan lari. Saya akan mati di bumi Mesir,” katanya.
Di PARIS, pemimpin Liga Arab, Amr Mussa, yang juga bekas Menteri Luar Mesir, menyatakan kesediaan bertanding jawatan presiden walaupun tidak yakin Mubarak akan melepaskan jawatan itu.
Ditanya sama ada berminat untuk bertanding dalam pilihan raya baru Mesir dalam program radio Europe 1, Mussa berkata: “Mengapa tidak? Sudah pasti saya sedia berkhidmat untuk negara sendiri. Saya sedia berkhidmat dan berhak menjadi calon.” – Agensi
sumber : SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan