Pengikut

Rabu, 11 Ogos 2010

Tun Dr Mahathir kena kecam lagi?

Mukaddimah: Pertimbangan dalam memilih sesuatu pandangan mestilah berasaskan dalil manakah yang paling kuat. Hujjah siapakah yang paling menepati prinsip Hukum Islam.
Bila mana Al-Quran dan Hadis menjadi rujukan utama, insyaAllah, kecenderungan kita pada sesuatu pandangan itu lebih hampir pada kebenaran.
Sumber dari SINI



KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Pemimpin-pemimpin PAS mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabelkan parti itu hipokrit sambil mendakwa Umno yang mahu meraih sokongan dengan menggunakan kekerasan atas nama Islam, antara lain tindakan yang menyumbang kepada serangan gereja dan protes kepala lembu.

Malah pemimpin-pemimpin itu juga menafikan dakwaan bahawa PAS hanya mahu mengambil hati pengundi Cina bagi mendapatkan sokongan mereka, dengan menekankan bahawa asas dasar parti itu ialah menekankan keadilan Islam kepada semula tanpa mengira kaum dan agama.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pati itu sentiasa konsisten dengan perjuangan dalam menyebarkan keadilan menerusi Islam tanpa kisah siapa penerimanya sama ada Cina, Melayu ataupun India.

“Apa yang beliau (Dr Mahathir) cakap ini? Kami sangat jelas dengan kepercayaan kami dan kami tidak pernah terkeluar daripada dasar ini.

“Kami jujur sejak penubuhan (PAS), konsisten dalam kempen dan meletakkan Islam sebagai asas perjuangan, dan memperlihatkan komitmen kami.

“Kami sentiasa bercakap mengenai keadilan Islam dan kesamaan dan kesaksamaan bagi semua, kesemua ini digariskan dalam Islam.

“Ini diperturunkan dan dituntut ke atas kami sebagai seorang Muslim, untuk menyediakan keadilan kepada semua,” kata beliau kepada The Malaysian Insider sambil menegaskan, ia bukan digerakakn atas motif politik semata-mata.

Dalam tulisan blognya dua hari lalu, Dr Mahathir, perdana menteri negara yang paling lama berkhidmat sebelum bersara pada Oktober 2003 mendakwa PAS memperlihatkan sifat hiporkit mereka dengan hanya berpura-pura mahu memberi ruang kepada orang Cina untuk mendapatkan undi mereka.

Dr Mahathir juga mendakwa PAS kelihatan menyokong masyarakat Cina bukan kerana mahu mahu membantu tanpa mengira kaum dan agama, tetapi kerana ia mahu memainkan sentimen perkauman Cina untuk memenangi sokongan mereka.

Hipokrasi sangat tebal dalam politik negara ini, kata bekas presiden Umno ini.

Pendirian yang hampir sama dilihat dikeluarkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini.

Kata beliau, kedua-dua PAS dan Umno menggunakan Islam untuk meraih sokongan politik.

Dalam kenyataannya, Dzulkefly meneruskan kecaman terhadap pemimpin veteran itu dengan menekankan bahawa Umno yang menggunakan ‘Islam yang keras’ untuk mencari sokongan pengundi.

Justeru kata beliau, pendekatan terbaru Umno itu hanya akan membawa kepada keadaan huru-hara dan perkauman di negara ini.

“Ajaran Islam menentang rasuah, ia mengajar tentang soal mempertahankan hak kaum-kaum lain dalam amalan mereka, sama ada dalam aktiviti agama ataupun bukan agama,” katanya.

“Umno tidak melakukan yang ini. Mereka menggunakan Islam secara berbeza. Mereka serang gereja, mengadakan protes kepala lembu... ini Islam yang mereka ada,” katanya.

Dzulkefly menekankan, berbeza daripada Umno, PAS tidak menggunakan Islam sebagai alat untuk meraih undi.

“Kami adalah alat Islam, tetapi tidak menggunakan Islam sebagai alat,” katanya.

Beliau juga mengetepikan pandangan Dr Mahathir bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) hanya akan memberi lebih banyak kuasa politik kepada masyarakat Cina jika orang Melayu mengembangkan kekuatan ekonomi mereka.

Beliau yakin soal itu tidak akan menjadi realiti.

“Ia tidak berasas sama sekali,” kata beliau sambil menambah, orang Cina tidak akan diberikan lebih kuasa politik di bawah BN.

“Daripada 165 kerusi (Parlimen) di Malaysia Barat, 96 dipegang oleh orang Melayu dan 69 oleh bukan Melayu.

“Daripada 222 kerusi Parlimen, sebanyak 131 kerusi dipegang oleh Melayu dan 91 bukan Melayu,” katanya lagi.

“Jadi, apa yang beliau cakap?” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini sambil menambah, BN mahu memainkan politik perkauman takut dengan prinsip pecah dan memerintah.

“Mereka kini bercakap mengenai penyatuan Melayu kerana mereka bimbang Cina akan memerintah negara ini? Kami tidak boleh menerima politik perkauman macam ini,” katanya.

Seorang lagi pemimpin PAS, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu, kenyataan terbaru Dr Mahathir ini dengan sendiri menuduh orang Cina tidak berupaya untuk berfikir dengan sendiri.

“Tiada gunanya Dr Mahathir menuduh kami. Masyarakat Cina tahu di mana mereka berdiri,” kata beliau.

Kata Bendahari PAS ini, sekarang Dr Mahathir cuba hendak mengatakan bahawa PAS mahu membohongi orang Cina dengan janji-janji tetapi sebenarnya mereka mempunyai kesedaran politik yang tinggi.

“Mereka tahu di mana mereka berdiri dalam politik Malaysia dan sesiapa datang membuat janji-janji tidak berwibawa hanya akan menjadi bahan ketawa negara,” katanya.

Kata beliau, PAS berusaha untuk menyediakan peluang yang adil dan saksama kepada semua, dan pada masa yang sama tidak berani membuat janji-janji yang tidak boleh ditunaikan.

Malah dakwa beliau, bekas perdana menteri itu sedang bekerja keras untuk menunjukkan yang beliau masih relevan dalam politik negara ini dan terus berpolitik bagi pihak BN.

“Kami di PAS mengecam politik perkauman dari awal lagi. Kami menolak pemikiran sempit.

“Umno mengamalkan politik Melayu sempit, MCA juga mengamalkan politik sempit. Ini sebabnya kami menolak kerjasama Umno dengan MCA dari awal lagi,” kata beliau sambil menambah, kerjasmaa PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat adalah atas dasar keadilan kepada semua, bukannya politik perkauman.

Bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar sealiran dengan pandangan kedua-dua rakannya itu tetapi menambah beliau tidak terkejut dengan tuduhan Dr Mahathir itu.

“Ini adalah tuduhan yang dilemparkan ke atas kami dari semua sudut tetapi buktinya adalah apa yang kami lakukan dalam parti dan juga di neger-negeri yang kami mentadbir,” katanya.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini memberitahu, sebagai contoh parti itu memperlihatkan keikhlasan untuk bekerjasama dengan bukan Islam dengan mewujudkan sayap baru.

PAS menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS Mei lalu.

“Ini bukti jelas PAS telah membawa peranan hak bukan Islam ke dalam parti. Jadi, bagaimana anda boleh mengatakan kami ini hipokrit,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan