Pengikut

Ahad, 8 Ogos 2010

HAKIKI ATAU KIASAN...

sambungan :

Satu dalil yang mempunyai makna hakiki atau kiasan.

Kadang kala sesuatu perkataan itu boleh juga mempunyai dua makna, satu makna yang sebenar dan satu makna yang tersembunyi atau kiasan. Dalam kaedah usul fiqh ini digelar sebagai Lafaz Hakiki dan Lafaz Majazi.Contoh yang selalu dibicarakan ialah hukum batal atau tidak wudhu’ apabila bersentuhan antara lelaki dan perempuan. Perbicaraan ini merujuk kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
…atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air… [al-Nisaa’ 4:43 dan al-Maidah 5:06)

Perkataan La-ma-sa boleh difahami secara hakiki iaitu bersentuhan dan boleh juga difahami secara majazi iaitu bersetubuh antara lelaki dan perempuan. Hikmah di sebalik penggunaan lafaz kiasan di dalam ayat ini ialah kerana Allah enggan menggunakan secara terus-terang perkataan yang mewakili sesuatu perbuatan yang mengurangkan kesopanan dan kemuliaan bahasa al-Qur’an. Perkataan ‘bersetubuh’ adalah kurang sopan untuk digunakan dalam al-Qur’an maka Allah menggunakan perkataan ‘bersentuhan’ sebagai alternatif lain.
Al-Syafi‘e berpendapat wudhu’ seseorang itu batal apabila bersentuhan antara berlainan jantina berdasarkan ayat di atas. Malik dan Ahmad berpendapat wudhu’ seseorang yang bersentuhan kulit antara berlainan jantina hanya akan menjadi batal apabila timbulnya perasaan syahwat. Jika tidak ada syahwat maka tidaklah membatalkan wudhu’.
Di sini kita dapat juga melihat walaupun berdasarkan kepada dalil yang sama, para imam mazhab menafsirnya dengan cara yang berbeza, sesuai dengan keluasan ilmu masing-masing. Setiap mereka mempunyai hujahnya dan setiap mereka mempunyai kebenarannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan