Pengikut

Jumaat, 26 November 2010

SURAT PALSU DAN KEBENARANNYA?

Mengemparkan...
Sapa auta siapa?
Mana yang benar dan mana yang mahu jadi penipu?
Atau siapa pedaya siapa?

Baca kat sini

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Bekas setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Salehuddin Hashim hari ini mendakwa ibu pejabat parti itu telah menggunakan surat palsu kononnya ditandatangani beliau, yang mengesahkan pemecatan P Jenapala, yang baru-baru ini meminta mahkamah mengisytiharkan pemilihan tidak sah.

Salehuddin, yang meletakkan jawatan awal tahun, menafikan beliau menandatangani surat seumpama itu dan membuat aduan polis petang ini.

“Pada hari ini, 26 November 2010, pukul 3 petang, saya telah membuat satu laporan polis di balai polis Dang Wangi tentang pemalsuan sepucuk surat bertarikh 2 Febuari 2009 yang kononnya dikeluarkan oleh saya selaku Setiausaha Agung PKR pada masa itu.

“Saya mengetahui kewujudan surat ini setelah peguam dari plaintif kes saman pemula No: R1-24-104-2010 menunjukkan kepada saya afidavit daripada Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR sekarang, yang menyatakan satu daripada sebab-sebab beliau bertindak dalam kes itu adalah berdasarkan surat tersebut, yang seperti telah saya nyatakan adalah sepucuk surat palsu.

“Saya membuat laporan tersebut dengan harapan satu penyiasatan polis akan dibuat untuk menentukan siapakah mereka yang melakukan pemalsuan tersebut untuk tujuan-tujuan mereka sendiri,” kata Salehdudin dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Salehuddin digantikan sebagai setiausaha agung oleh Saifuddin bermula 1 Februari lalu.

Justeru, kata Salehuddin, beliau yakin surat palsu tersebut telah melanggar undang-undang jenayah dan sivil serta menganiayainya - seolah-olah beliau seorang yang melakukan perkara-perkara yang tidak benar dan tepat.

“Saya kepilkan salinan surat tersebut, afidavit balasan saya dan minit mesyuarat Biro Politik PKR pada 30 Ogos 2009, enam bulan kemudian, yang masih lagi mengiktiraf keahlian ahli tersebut.

“Saya berasa kecewa terhadap perilaku mereka di belakang pemalsuan tersebut yang menunjukkan matlamat menghalalkan cara, dan saya berasa amat curiga sekiranya gerombolan-gerombolan tersebut berkuasa di Putrajaya, maka banyaklah institusi-institusi kerajaan yang akan diperkosa seperti yang dibayangkan dalam aduan saya ini,” kata Salehuddin.

Salehuddin berkata beliau akan memanggil satu sidang media dalam masa terdekat berhubung isu tersebut.

“Walaupun saya telah bersara sepenuh masa dari arena politik selama hampir satu tahun, dengan tercetusnya kes ini, saya telah diheret kembali ke dalam kancah politik nasional.

“Walau bagaimanapun, saya menerima cabaran ini demi menegakkan kebenaran sejagat,” kata beliau.

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Jenapala, bekas timbalan setiausaha agung PKR, berhubung pertandingan jawatan timbalan presiden parti itu.

Hakim Datuk Aziah Ali menolak permohonan Jenapala dengan kos sebanyak RM15,000 selepas mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung isu bidang kuasa.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili PKR memberitahu bahawa Seksyen 18(C) Akta Syarikat 1966 (Semakan 1987) telah menyatakan bahawa sebarang keputusan yang dibuat parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Kami berhujah bahawa satu keputusan telah dibuat oleh parti tersebut untuk melucutkan kelayakannya (Jenapala) dan sebab itulah beliau menyatakan pelucutan kelayakan itu adalah salah serta meminta mahkamah mengisytiharkannya,” katanya.

Katanya, hakim juga bersetuju bahawa terdapat satu keputusan yang telah dibuat, justeru, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara tersebut.

Dalam saman pemula bertarikh 18 November lepas, Jenapala berkata permohonan itu dikemukakan bagi mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

Sehubungan itu, Jenapala memohon pengisytiharan bahawa pelucutan kelayakan beliau sebagai calon bagi jawatan timbalan presiden PKR adalah tidak sah dan bertentangan dengan haknya sebagai seorang anggota parti tersebut.

Dalam saman itu, beliau menamakan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan Saifuddin sebagai defendan, dalam kapasiti mereka sebagai pemegang jawatan parti tersebut.

Dalam afidavitnya, Jenapala berkata keanggotaannya telah dilucutkan tanpa pengetahuan beliau, dan tidak ada sebarang notis diberikan kepadanya.

Jenapala berkata beliau menyertai PKR pada Mei 1998, dan berkhidmat sebagai timbalan setiausaha agung sejak awal 2008 sehingga peletakan jawatannya secara lisan pada bulan Disember tahun yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan